
Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah memuji persembahan barisan pemain yang tidak merendah diri ketika mencatatkan seri 1-1 ke atas Kuala Lumpur pada aksi pembuka tirai saingan Liga Premier di Kota Bharu, malam semalam.
Walaupun pasukan kendaliannya terlepas peluang untuk meraih kemenangan pertama sekali gus mengecewakan penyokong setia mereka namun Yusri tetap positif sambil menegaskan anak buahnya telah memberikan aksi terbaik.
“KL (Kuala Lumpur) sebenarnya pasukan lebih bagus kalau diikutkan daripada segi nama (pemain bintang) di atas padang.
“Tetapi kredit kepada pemain saya kerana mereka tak hiraukan nama dan menunjukkan permainan cukup matang. Saya harap atitud seperti ini diteruskan pada aksi akan datang,” kata jurulatih itu pada sidang media pasca perlawanan.
Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan dilihat mampu meraih kemenangan apabila mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti Lazarus Kiambi pada minit ke-47 namun tandukan pemain import kelahiran Ivory Coast, Kouassi Francis Kone, tiga minit sebelum wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Mengulas lanjut, pengendali berasal dari Perlis itu mengakui pasukannya turun tanpa kesebelasan terkuat setelah beberapa tonggak diketepikan akibat kecederaan.
“Syukur kepada Allah kerana dalam serba kekurangan kita berjaya sebenarnya, walaupun hilang kekuatan selepas Kang (Seung-jo) cedera seawal minit kedua.
“Sebelum perlawanan, kita juga dikejutkan dengan Mohd Hakimi (Abdullah) yang tidak boleh beraksi kerana pendaftaran skuad Piala Presiden tidak sama dengan MFL.
“Jadi saya terima dengan hati terbuka selepas ketiadaan Kecik (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria) dan Awe (Mohd Azwan Aripin), empat pemain utama tidak dapat beraksi,” katanya.
Mengenai Kiambi, jurulatih berusia 44 tahun itu jelas gembira dengan prestasi dipamerkan pemain berkenaan mengetuai jentera serangan pasukannya.
“Tiada keraguan, saya cukup rasa terkesan dengan kehadirannya walaupun baru tiga hari bersama pasukan, Alhamdulilah pengalamannya beraksi bersama Pahang musim lalu membuatkan dia cukup selesa.
“Cuma sebagai manusia (kerana) satu kesilapan (gagal menjaringkan gol dalam situasi terbuka) yang dia lakukan, kenapa tidak kita maafkan dia, secara jujur saya mohon maaf apa yang berlaku jangan terus hukum sebaliknya beri sokongan,” ujarnya lagi.
Add Comment