
Pahang bermula langkah sumbang apabila kalah 1-2 kepada seteru tradisi, Selangor dalam perlawanan pertama CIMB Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Walaupun menjaringkan gol awal, skuad Tok Gajah gagal mempertahankan kelebihan itu sekaligus kehilangan tiga mata berharga.
Pengendali pasukan, Dollah Salleh menyifatkan kekalahan yang diterima anak didiknya berpunca daripada faktor kelekaan di bahagian tengah dan pertahanan.
“Selangor bermain dengan dibarisi pasukan pengalaman dan kalau kita leka sedikit.. kita terima padahnya. Pada separuh masa kedua kita serang dan cipta banyak peluang tapi kita sia-siakan.
“Kita leka lagi untuk bertahan. Bila kita hilang bola, Selangor buat serangan balas mengejut. Kesilapan berlaku di bahagian pertahanan yang terlalu jauh bila berdepan dengan penyerang. Saya selalu tekankan kepada mereka bahawa pemain seperti Ifedayo Olusegun kalau awak bagi peluang itulah yang akan terjadi (bolos gol pertama) ,” katanya selepas perlawanan.

Walaubagaimanapun, Dollah tetap berpuas hati dengan pasukan yang bermain agak cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya tak jangka pemain bermain agak baik cuma nasib tak menyebelahi kita.
“Semua bahagian kena diperbaiki terutamanya di bahagian tengah. Kita kadang-kadang bagi ruang kepada lawan dan apabila hilang bola sukar nak kejar balik,” ujarnya.
Dollah juga mahu segera membuat pembetulan struktur pasukannya menjelang aksi kedua liga menentang Petaling Jaya City FC pada Jumaat ini.
Add Comment