Uncategorized

Nidzam puas hati kutip satu mata


Jurulatih Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berpuas hati dengan kejayaan pasukannya mengutip satu mata setelah mengikat seri 1-1 dengan Kelantan pada aksi sulung Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Perak itu bagaimanapun mengakui ada sedikit elemen tuah memihak pasukannya apabila berjaya mendapatkan gol penyamaan, pada minit-minit akhir permainan.

“Saya rasa dalam bola sepak memang penalti (merujuk kepada jaringan Kelantan) tak dapat dielakkan.

“Boleh dikatakan (Kuala Lumpur) bernasib baik juga tetapi lebih penting kepada pemain, tidak berputus asa walaupun diasak dan mereka memang bersedia daripada segi fizikal dan mental,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Pada pertemuan itu, skuad The Hawks yang ketinggalan 0-1 pada awal babak kedua terpaksa menunggu hingga minit ke-87 untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan penyerang import, Kuoassi Francis Kone.

Kata jurulatih kelahiran Perak itu, memang perlawanan pertama agak sukar bagi mana-mana pasukan untuk adaptasikan corak permainan dengan cepat.

“(Tetapi) kita datang away (gelanggang lawan) lebih-lebih lagi di Kota Bharu ini dapat kutip satu mata memang cukup baik,” katanya.

Menurutnya pujian juga harus diberikan kepada barisan pemain yang berjaya mengekang corak permainan pantas Kelantan.

“Pada babak pertama kita berjaya mengimbangi permainan, mereka (pemain) begitu berdisiplin dan beraksi mengikut taktikal.

“Kita dah jangka kerana tahu Kelantan bermain pantas dengan pemain muda mereka. Tak silap saya ada dua serangan balas pantas Kelantan tetapi kita dapat mengimbangi perlawanan ini,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d