
Berbaki seminggu sebelum sepak mula Liga Premier, Kelantan akhirnya memuktamadkan pemain import bagi membawa cabaran pasukan itu musim ini.
Empat pemain berkenaan adalah dua penyerang iaitu Christopher Jackson dan Felix Chidi Odili, masing-masing dari Liberia dan Nigeria, Kang Seung-jo (Korea Selatan) dan Masaki Watanabe (Jepun).
Pengarah Urusan TRW Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, keputusan mengikat semua pemain import itu dilakukan setelah berpuas hati dengan prestasi mereka dalam aksi persahabatan pra musim, baru-baru ini.
“Ia dipersetujui ketua jurulatih (Yusri Che Lah) berdasarkan penilaian yang dilakukannya sepanjang perlawanan dan persiapan pra musim ini.
“Berdasarkan sesi pengujian, kita lihat mereka (pemain import) boleh beraksi dengan pemain muda tempatan dan sesuai dengan falsafah bola sepak Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain TRW 2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah dan barisan exco persatuan itu.

Jelas beliau lagi, kecuali Jackson, tiga pemain lain iaitu Odili, Seung-jo dan Watanabe menandatangani kontrak setahun bersama Kelantan.
“Jackson pula telah menandatangani kontrak dengan Kelantan selama dua tahun, dia adalah mesin gol TRW seumpama Dickson Nwakaeme (bekas pemain import Kelantan 2013).
“Saya yakin Jackson akan menjadi aset penting masa depan buat TRW dan dia bakal menyinar di pentas bola sepak Malaysia,” katanya.

Dalam sidang media sama, Wan Rakemi memberitahu, Kelantan menyasarkan kembali semula beraksi pentas liga tertinggi, Liga Super dan mendakap satu piala.
“Hasil perbincangan bersama Presiden KAFA (Wan Abdul Rahim) kita sasar Kelantan berada dalam kelompok tiga teratas dan juga sasar satu piala sama ada Piala FA atau Piala Malaysia.
“Tetapi sasaran utama Kelantan (mahu kembali) ke Liga Super musim depan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Kelantan akan menggunakan empat warna jersi rasmi bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini.
Merah kekal selaku warna tradisi ketika beraksi di tempat sendiri, hitam, putih dan biru ketika bertandang ke gelanggang lawan.
Add Comment