Uncategorized

UiTM FC mahu elak bermain di Piala Cabaran


Pendatang baharu Liga Super, UiTM FC mengelak daripada beraksi pada kempen Piala Cabaran untuk musim ini.

Ini kerana, berstatus pasukan Liga Super sasaran ditetapkan pihak pengurusan UiTM FC adalah bermain dalam saingan Piala Malaysia yang penuh prestij.

Itu ulasan kapten The Lions Roar, Muhammad Afif Asyraf Mohamad Zabawi ketika ditemui pemberita semasa majlis memperkenalkan pemain dan jersi UiTM FC musim 2020 di Shah Alam hari ini.

“Agak malulah kalau pasukan UiTM bermain di Liga Piala Cabaran. Kami perlu fokus dan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Liga Super.

“Pengurusan mahu kami terus komited dan tak jatuh ke Piala Cabaran.

“Oleh itu, kami tak boleh bermain sambil lewa dan tempoh empat bulan bersama dikumpulkan serta aksi perlawanan persahabatan di Bangkok baru-baru ini menjadi azimat setiap pemain UiTM memperagakan aksi terbaik nanti,” ujarnya.

Menyentuh mengenai cabaran getir yang bakal dihadapi UiTM FC, Muhammad Afif Asyraf tidak menafikan aspek berkenaan, sebaliknya menggesa rakan sepasukan kekal positif.

“Satu cabaran dan tanggungjawab yang besar kepada saya sebagai ketua pasukan. Kali pertama bermain di Liga Super, bukan senang bermain di Liga Super tapi kita telah buat persediaan rapi dan insya Allah kita buat persiapan terbaik dalam saingan liga yang bermula minggu depan.

“Kita juga dibarisi 50 peratus muka baru dan itu ramuan terbaik bakal disaksikan oleh UiTM nanti, ” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategic Kementerian Pendidikan) berkata, UiTM mempunyai ‘pangkalan penyokong’ yang besar di seluruh negara dan Alumni UiTM yang dianggarkan berjumlah 800,000 orang.

“Menjadikan Stadium UiTM Shah Alam sebagai venue utama, saya berharap penyokong di Lembah Klang dan warga Shah Alam dapat hadir bagi sokongan.

“Sukan bola sepak juga boleh menjadi medium memupuk agenda gaya hidup sihat,” katanya.

Musim ini, UiTM dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Frank Bernhardt.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading