Uncategorized

Sideek tubuhkan akademi bola sepak sendiri


Bekas penolong jurulatih Liga Malaysia Kelantan, Sideek Samsudin merealisasikan impiannya sejak sekian lama apabila mewujudkan sebuah akademi bola sepak sendiri, baru-baru ini.

Dinamakan Akademi Bola Sepak Sideek Samsudin (ABSS), ia mula beroperasi awal bulan ini di 11 zon meliputi lima daerah di Kelantan.

Sideek yang merupakan Pengarah ABSS berkata, objektif penubuhan akademi itu bertujuan mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun.

Menurutnya, selepas dua minggu diperkenalkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu-bapa yang menghantar anak mereka menyertai akademi itu.

“ABSS komited mahu menarik minat seberapa ramai anak-anak muda khususnya remaha untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan bola sepak.

“Menerusi modul latihan yang diperkenalkan, kita mahu meningkatkan standard dan kualiti permainan bola sepak disamping melahirkan pemain yang komited, bersahsiah tinggi dan konsisten dalam bola sepak,” katanya kepada Cakap Sukan.com.

Mengenai pemilihan pelatih, Sideek yang juga menjawat jawatan ketua jurulatih akademi itu memberitahu, peserta dipilih berdasarkan penilaian jurulatih di setiap zon.

“Setiap daerah akan mempunyai tiga atau empat zon. Setiap zon pula akan memiliki seramai 40 pelatih.

“Setiap daerah ini akan diketuai seorang jurulatih manakala setiap zon pula akan diterajui seorang jurulatih dan pembantunya.

Mengenai tenaga kejurulatihan pula, beliau menjelaskan ABSS mempunyai seramai lima jurulatih daerah, 11 jurulatih dan 11 pembantu jurulatih di 11 zon.

“Sebagai permulaaan ABSS telah beroperasi di Kota Bharu, Melor, Penambang, Pasir Mas, Kampung Laut, Kutan dan Pasir Puteh.

“Latihan dijalankan dua kali seminggu iaitu pada Jumaat dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi,” katanya lagi.

Mereka yang berminat menyertai akademi ini dikenakan yuran tahunan RM100 dan yuran bulanan RM50 dan setiap pelatih dibekalkan secara percuma dua helai baju latihan dan satu beg galas.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai ABSS boleh melayari Facebook rasmi Akademi Bola Sideek Samsudin atau menghubungi nombor yang tertera mengikut zon pada pada poster di atas.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d