Uncategorized

Terbuka Malaysia 2020 tetap diteruskan:MGA


Persatuan Golf Malaysia (MGA) hari ini mengumumkan selepas berunding dengan Jelajah Asia, memutuskan bahawa Terbuka Malaysia 2020 akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Terbuka Malaysia akan diadakan pada 5 hingga 8 Mac 2020 di Kelab Golf & Country Kota Permai dengan mematuhi beberapa langkah yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua peserta, pegawai, sukarelawan dan penaung yang menyertai acara tersebut.

“Kami mengetahui situasi semasa COVID-19, yang telah memaksa pembatalan beberapa acara di rantau ini dan negara,” kata Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya, acara itu akan berjaya diatur mengikut jadual.

Katanya lagi, langkah-langkah kesihatan dan keselamatan akan diambil termasuklah kemudahan perubatan di Kelab Desa & Golf Kota Permai, menjadikan pegawai perubatan siap sedia pada hari kejohanan.

“Penyediaan topeng muka kepada semua pemain dan penonton dan pemeriksaan suhu apabila diperlukan, menyediakan kemudahan pembersih dan mencuci tangan yang mencukupi dan memastikan semua suite perhotelan mempunyai ruang pengudaraan yang mencukupi dan sering dibersihkan.

“Saya ingin mengulangi bahawa keselamatan dan kesihatan pemain, pegawai, sukarelawan dan penaung yang menghadiri Terbuka Malaysia kekal menjadi keutamaan kita,” kata Tan Sri Mohd Anwar yang juga menambah bahawa sidang akhbar akan diadakan tidak lama lagi untuk mengumumkan dan memperkenalkan penaja kejohanan.

Beliau menambah, pihaknya menjemput rakyat Malaysia bersama-sama dengan anak mereka untuk merasai suasana acara golf profesional selama empat hari di Kelab Golf & Country Kota Permai.

Sementara itu, persiapan untuk kejuaraan bernilai AS $ 1 juta sedang berjalan mengikut jadual dengan kemudahan darat disiapkan dan beberapa pemain Tour Asia terkemuka mengesahkan beraksi acara ini.

“Kami kini sudah 80 peratus siap dari segi penyediaan untuk acara itu dan akan disiapkan sepenuhnya tidak lama lagi.

“Kami yakin dengan semua tahap kesihatan dan langkah-langkah keselamatan yang ada, acara ini akan berjaya,” kata Arep Kulal, Ketua Pegawai Eksekutif Winning Matters Sdn Bhd.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d