Uncategorized

Al-Ikhsan, SUKMA XX Johor 2020 jalin kerjasama

Pihak Sekreteriat SUKMA Johor hari ini melancarkan Pakaian dan Cenderamata Rasmi SUKMA XX JOHOR 2020 yang mana pihak Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd telah diberi hak eksklusif bagi mengeluarkan cenderamata rasmi bagi SUKMA XX Johor 2020.

Majlis Pelancaran Cenderamata Rasmi SUKMA XX Johor 2020 yang berlangsung di Beletime Danga Bay, Johor Bahru telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji Jamal, Menteri Besar Johor, sebentar tadi.

Kerjasama ini sekaligus menyaksikan pengeluar barangan sukan terkemuka ini mendapat hak bagi menghasilkan pakaian serta cenderamata rasmi bagi temasya SUKMA XX Johor 2020 selepas kali pertama menjadi penaja pada SUKMA edisi 2018 yang berlangsung di Perak.

Al-Ikhsan yang turut membekalkan jersi rasmi beberapa pasukan di Liga Super Malaysia serta beberapa produk sukan yang lain sudah pasti dapat membawa nilai tambah di dalam kejayaan penganjuran SUKMA XX Johor 2020 kali ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Dr. Sahruddin Jamal bin Haji Jamal sangat mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat tempatan untuk tampil bersama-sama menjayakan SUKMA edisi kali ini.

Menurutnya, Kerajaan negeri Johor sememangnya mengalu-alukan kehadiran mana-mana syarikat tempatan yang ingin bersama-sama dengan keluarga besar SUKMA XX Johor 2020 untuk memastikan kejayaan penganjuran temasya yang kali terakhir dianjurkan di negeri bertuah ini pada tahun 1992.

”Majlis seumpama ini juga merupakan medium terpenting di dalam memastikan gerak kerja promosi SUKMA XX Johor 2020 diteruskan dengan berbaki 146 hari sahaja lagi. Kerajaan negeri melalui Unit Sekretariat SUKMA Johor sedang giat menjalankan pelbagai program di dalam usaha membawa kehangatan temasya SUKMA ini dapat dirasai di seluruh negara,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd, Vach Pillutla berkata, sebagai pengedar barangan sukan nombor satu di Malaysia, mereka menjadi pilihan lebih 20 juta penggiat sukan tanah air.

“Al-Ikhsan Sports menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Johor sebagai salah satu inistiatif bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk membabitkan diri dalam sukan dan menjalani gaya hidup sihat, seiring dengan matlamat utama syarikat kami.

“Koleksi cenderamata dan barangan rasmi SUKMA XX Johor 2020 termasuk baju Polo dan kemeja-T untuk kanak-kanak dan dewasa, boleh didapati dengan harga serendah RM29 hingga RM59. Barangan eksklusif ini boleh didapati di semua cawangan Al-Ikhsan di Johor dan cawangan terpilih di seluruh negara, ” tambah beliau.

Turut hadir di Majlis Pelancaran Cenderamata Rasmi SUKMA XX Johor 2020 ialah Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani; Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd, YB Dato’ Daing A. Malek bin Daing A. Rahaman; Pengerusi Jawatankuasa, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, YB Tuan Mohd Khuzzan bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), YB Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, YB Dato’ Adib Azhari bin Daud.

Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji Jamal juga melancarkan Skuad Promosi ‘ROAD TO SUKMA’ yang bertanggungjawab untuk mengendalikan program promosi siri jelajah ke beberapa negeri seperti Selangor, Kedah, Melaka, dan Pahang serta larian obor yang akan diadakan di seluruh negeri Johor.

Sebanyak 39 buah venue pertandingan akan digunakan untuk edisi kali ini antaranya di Johor Bahru bagi 28 acara, diikuti Muar (3) dan Kota Tinggi (2). Sejumlah 434 pingat akan dipertaruhkan di dalam 16 sukan wajib, 15 sukan pilihan dan satu sukan pertunjukan iaitu silambam.

Edisi kali ini juga akan menyediakan liputan yang komprehensif dengan penglibatan platform digital bagi memberikan info dan keputusan terkini mengenai temasya yang akan dimuat naik dilaman web rasmi, http://www.sukmaxxjohor2020.my, laman Facebook rasmi – SUKMA XX JOHOR 2020 dan Instagram – @sukmaxxjohor2020.”

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: