Uncategorized

Rekod tanpa kalah Kelantan akhirnya lebur

Wan Zaharulnizam (tengah) cuba melepasi pemain sayap Selangor, Mohd Khryll Muhymeen (kanan) pada aksi persahabatan di Kota Bharu, malam tadi. FOTO : KELANTAN FA

Kelantan gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam persiapan pra musim apabila tewas 0-2 kepada Selangor pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Ia merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Yusri Che Lah selepas mengharungi 10 perlawanan dan mereka perlu akur dengan reputasi gergasi Lembah Klang itu yang beraksi di pentas Liga Super musim ini.

Tuan rumah nyata cemas sepanjang lima minit pertama apabila The Red Giants kerap kali melancarkan serangan bertali arus menerusi rangkaian enjin tengah dan serangan mereka.

Seawal minit keempat, Mohd Khryll Muhymeen Zambri bijak melintang bola di depan gawang namun percubaan Mohd Syahmi Safari menerjah jaring sisi luar.

Hasil serangan pantas seminit kemudian, Brendan Gan melakukan umpanan cantik tetapi Sean Eugene Selvaraj mensia-siakannya apabila memilih merembat serong di sebelah pintu gol Kelantan.

Sehingga aksi memasuki minit kelapan, barulah Kelantan berjaya memulakan serangan dengan gerakan menarik Mohd Hakimi Abdullah memperdayakan dua pertahanan lawan tetapi percubaan Felix Chidi Odili pula gagal menepati sasaran.

Minit kesembilan, pemain sayap Wan Zaharulnizam Wan Zakaria bijak melorongkan bola kepada Odili tetapi penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Khalid lebih pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan.

Aksi selepas itu lebih dominan buat Selangor yang terus melancarkan serangan tetapi hantaran Sandro Da Silva Mendonca gagal disambar Sean Eugene, pada minit ke-15.

Anak buah B Sathiananthan itu terus menguasai permainan menerusi gerakan sebelah kiri dan kanan tetapi ketangkasan Mohd Faridzuean Kamaruddin menggagalkan dua percubaan berbahaya Da Silva Mendonca dan Mohd Khryll Muhymeen, pada minit ke-25 dan 26.

Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan lima minit untuk mendahului 1-0 apabila pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin melakukan sepakan separa voli yang terus menerjah jaring berpunca tendangan bebas Da Silva Mendonca.

Tersentak jaringan itu, Kelantan bangkit mengatur serangan dan hampir menyamakan kedudukan namun percubaan Wan Zaharulnizam hanya sedikit tersasar, pada minit ke-53.

Menuju minit ke-57, pelawat berpeluang menambahkan jaringan menerusi back heel menarik Brendan Gan tetapi percubaan leret Muhamad Safuwan sedikit serong disusuli rembatan Mohd Khryll Muhymeen turut tersasar, dua minit kemudian.

Penantian hampir 4,600 penyokong tuan rumah untuk menyaksikan kelibat pemain import baharu tertunai apabila Yusri Che Lah bertindak membawa masuk Christopher Jackson menggantikan Odili pada minit ke-60.

Bagaimanapun pertukaran itu tidak menghalang Selangor untuk mencetak gol kedua mereka apabila kapten, Taylor Reagan menanduk masuk hantaran rakannya, pada minit ke-63.

Peluang terbaik tuan ruan rumah untuk merapatkan jurang hadir lima minit selepas itu namun sepakan lencong Wan Zaharulnizam sedikit serong ketika Mohd Khairulazhan sudah tertewas diposisinya.

Jackson menyalakan sedikit harapan buat Kelantan menerusi tandukan cantik hasil hantaran Mohd Afiq Azuan namun melewati palang, pada minit ke-68.

Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan kem kedua-dua pasukan saling menukar pemain namun tiada jaringan baharu dicipta sehingga wisel penamat dibunyikan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: