Nakane akhiri penantian, Celano pertahan jersi kuning

Scroll down to content

KEALPAAN kumpulan besar pelumba yang membiarkan dua pelumba meloloskan diri pada baki lapan kilometer terakhir membolehkan pelumba Nippo Delko One Provence, Hideto Nakane memenangi Peringkat 6 PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) di sini, hari ini.

Dalam kayuhan yang bermula di Taiping sejauh 150.9km itu, Nakane bijak memperdaya pelumba Vino Astana-Motors, Gleb Brussenskiy dalam permainan kucing dan tikus pada 500 meter terakhir untuk terlebih dulu melintasi garisan penamat, dengan catatan masa 3 jam 29 minit 15 saat.

Ia sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun pelumba negara Matahari Terbit itu menang peringkat di LTdL, selepas kali terakhir pekumba Aisan Racing, Takeaki Ayabe menang di Cameron Highlands pada tahun 2011.

Pelumba pasukan World Team, NTT Pro Cycling, Samuele Battistella yang juga juara dunia Bawah-23 tahun, mengetuai kumpulan pertama pelumba yang tiba empat saat di belakang, dan menyaksikan kesemua penyarung jersi yang berada dalam kelompok besar peloton, terus mengekalkan jersi masing-masing.

Di akhir peringkat itu, pelumba Team Sapura Cycling, Danilo Celano masih menyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan dengan catatan terkumpul 21 jam 17 minit 33 saat, 26 saat di depan pelumba Vino Astana yang juga Pelumba Terbaik Asia, Yevgeniy Fedorov.

Pelumba NTT, Maximilian Richard Walscheid juga masih mengungguli carta pungutan mata jersi hijau Raja Pecut dengan 47 mata, 11 mata di depan pencabar terdekat Taj Jones (ARA Pro Racing Sunshine Coast) manakala pelumba negara yang mewakili TSC, Muhamad Nur Aiman Zariff masih teratas dalam pungutan mata jersi merah Raja Bukit (29 mata).

Dalam sidang media selepas perlumbaan, Nakane berkata dia tidak menyangka nasib menyebelahinya dalam henjutan terakhir ke garisan penamat itu, dan gembira dengan kemenangan terbesar yang diraih dalam kariernya.

“Seperti ramalan ramai, saya juga menyangka peringkat ini akan berakhir dengan henjutan beramai-ramai pakar pecut. Tetapi apabila kami meloloskan diri ketika menuruni bukit, kumpulan besar teragak-agak dan tidak bersungguh untuk mengejar kami.

“Pada 3km terakhir, kami (bersama Brussenskiy) memperlahankan kayuhan dan saling memerhati antara satu sama lain. Saya mengambil peluang memecut lebih awal dalam henjutan terakhir itu dan gembira dengan kemenangan ini.

” Ya, saya mengenali Takeaki (Ayabe) kerana kami pernah bersama-sama dalam pasukan Aisan dulu. Ini kemenangan besar untuk pelumba negara Jepun dan lebih besar dari jersi putih yang saya menangi pada 2017,” kata pelumba 29 tahun kelahiran Nagoya yang menyertai Nippo pada 2017 itu.

Sementara itu, Celano yang tiba dalam kumpulan besar kedua, 4 saat di belakang kumpulan 11 pelumba yang turut mengandungi pencabar terdekatnya dari Vino Astana, Fedorov berkata pasukan Sapura bekerja keras sepanjang perlumbaan itu kerana sejak awal banyak kumpulan kecil cuba membuat pemecahan awal.

Begitupun, dia yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang menerajui peloton untuk mengejar dan menangkap mana-mana kumpulan di depan, sambil dia mengawasi posisi supaya sentiasa berhampiran pencabar terdekatnya.

“Sukar tetapi kami yakin akan dapat mengekalkan kedudukan jersi kuning individu dan berpasukan keseluruhan ini,” kata pelumba Itali berusia 30 tahun itu yang mula menyarung jersi kuning selepas berakhir Peringkat 4 di Genting Highlands.

Malah, Celano juga di landasan terbaik untuk mengakhiri penantian 19 tahun pelumba Itali menjuarai klasifikasi individu keseluruhan dalam sejarah 25 tahun LTdL, selepas Paolo Lanfranchi yang menyarung jersi Mapei-Quickstep, muncul juara 2001 dan mengulangi kejayaannya pada 1999.

Nur Aiman pula berkata, dia turut membantu pasukan TSC sepanjang perlumbaan dan cuba menambah mata Raja Bukit tetapi gagal kerana ada kumpulan pemecah di depan.

“Saya cuba pada KOM kedua (Teluk Bahang) tetapi gagal. Namun saya tidak mengendahkannya kerana pencabar terdekat ada bersama-sama kumpulan saya. Tumpuan ketika itu ialah memastikan jersi kuning Celano tidak tergugat,” katanya yang akan sekali lagi berehat esok kerana tiada zon pendakian di sepanjang Peringkat 7, Bagan ke Alor Setar.

Seperti skrip peringkat landai sebelum ini, perlumbaan yang dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Dataran Warisan Taiping, berjalan dalam tempo yang laju dengan purata kelajuan 43.27kmj.

Peringkat 7 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 akan disambung esok, membabitkan kayuhan sejauh 130.4km dari Bagan ke Alor Setar, yang turut mengandungi tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang sebelum berakhir di hadapan Menara Alor Setar.

Sempena ulang tahun sambutan jubli perak penganjuran LTdL 2020 ini, penganjur Human Voyage turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu pada 6 Februari lalu dan Perlumba Klasik Malaysia di Pulau Langkawi, Sabtu ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: