Petronas LTdL 2020: Henjutan Harrif pastikan menang Peringkat 5

Scroll down to content

PELUMBA Terengganu Inc TSG CYCLING TEAM, Mohd Harrif Saleh mencipta sejarah peribadi dan negara dalam perlumbaan PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) apabila memenangi Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh, semalam.

Ia adalah kemenangan peringkat kedua buat pelumba berusia 31 tahun itu, selepas memenangi Peringkat 2 LTdL 2019 di Melaka tahun lalu, sekaligus meredakan tekanan buat dirinya yang bertekad menang sekurang-kurangnya satu peringkat pada edisi ke-25 LTdL ini.

Dalam kayuhan sejauh 165.8km yang berakhir dengan henjutan beramai-ramai ke garisan penamat di Bandar Meru Raya itu, Harrif bijak meloloskan diri dari sebelah kanan kelompok pakar pecut di depan untuk terlebih dulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 39 minit 42 saat, sedikit di depan penyarung jersi hijau Raja Pecut dari NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid dan pelumba Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi.

Di akhir perlumbaan yang berlangsung di bawah cuaca panas terik, selepas peloton mengharungi cuaca hujan dan dingin di puncak Genting Highlands pada Peringkat 4 semalam, pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano terus mengekalkan jersi kuning pendahulu dengan masa terkumpul 17 jam 48 minit 10 saat, 30 saat di depan pencabar terdekat yang juga penyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia, Yevgeniy Fedorov (Vino-Astana Motors).

Tanpa saingan di zon pendakian pada semalam, penyarungnya dari TSC, Muhammad Nur Aiman Zariff yang mengumpul 29 mata semalam, terus mengekalkan kelebihan 14 mata di depan pencabar terdekat yang juga pemenang di Genting, Kevin Serrano.

Namun, selepas Peringkat 5 itu tidak dinafikan menjadi peringkat sempurna buat Harrif yang beberapa kali dinafikan pada tiga peringkat awal yang landai di Kuching, Kerteh dan Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Segala-galanya kerana bantuan rakan sepasukan. Saya ikut nasihat jurulatih (Jeremy Hunt) yang mahu supaya saya berada dalam kumpulan lima pelumba di depan dan mencari posisi yang baik. Sebaik melepasi selekoh terakhir, saya terus memecut dari sebelah kanan.
Walaupun agak awal kerana ada baki 300 meter, mujur tiada gangguan daripada pelumba lain,” kata Harrif yang kariernya menjadi tanda-tanya selepas mengalami masalah saraf di mata kanannya Oktober tahun lalu.

Kemampuan Harrif itu juga mengundang rasa hormat daripada Walscheid yang mengakui sudah meletakkan nama pelumba TSG itu dalam senarai antara pencabarnya di laluan landai, sejak peringkat memanas badan di Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu, Khamis lalu.

“Saya tetap gembira dengan prestasi setakat ini serta pecutan hari ini. Cuma ada seorang lagi pelumba yang lebih pantas berbanding saya hari ini. Sejak awal, saya sedar dia adalah pesaing dalam pecutan terakhir.

” Setiap hari kami berkayuh sebagai satu pasukan dan tugas itu berterusan lagi selepas ini,” kata Walscheid yang kini mengumpul 46 mata dalam saingan Raja Pecut, 10 mata di depan pelumba ARA Racing Sunshine Coast, Taj Jones yang menang di Peringkat 2 di Kerteh.

Penyarung jersi kuning, Celano yang menamatkan kayuhan hari ini secara selamat di dalam peloton, berkata TSC tetap menonjol terutama ketika peloton cuba mengejar sekumpulan pelumba yang membuat pemecahan awal.

“Saya gembira kerana sasaran pasukan adalah mempertahankan jersi kuning pendahulu dan kedudukan teratas senarai berpasukan. Namun, peloton agak tidak tersusun hari ini tetapi mujur kami adalah pelumba yang kuat.

” Setiap hari kami akan cuba mempertahankan kedudukan kami, termasuk jersi merah Raja Bukit (disarung Nur Aiman),” katanya.

Tatkala peloton dijangka akan berkayuh agak perlahan selepas mengharungi pendakian di bawah cuaca sukar di Genting, yang menyaksikan tiga pelumba gagal menamatkan kayuhan termasuk pakar pecut St George Continental Blake Quick, sebaliknya pula berlaku apabila cubaan demi cubaan kumpulan pelumba cuba meloloskan diri sejak awal, tetapi dapat dikejar kumpulan besar yang dipacu pelumba TSC.

Ancaman sebenar adalah dari sekumpulan enam pelumba yang dapat meloloskan diri sebaik melepasi zon pecutan ketiga di Tapah iaitu Mattia Bevilacqua (Vini-Zabu), Johan Le Bon (B&B Hotels); Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (TSG); Ken Ross (Wildlife Generation), Yazuru Suzuki (Utsunomiya) dan Nik Mohd Azwan Nik Zulkiflie.

Suatu ketika, kumpulan breakaway itu berada kira-kira 3:15s di depan tetapi apabila Bevilacqua dan Le Bon memutuskan untuk kembali ke peloton, kelajuan empat baki pelumba mula perlahan dan semakin dihampiri peloton.
Pada 30km terakhir, Nik Mohd Azwan pula tercicir dan tiga pelumba di depan itu dapat ditangkap pada baki 6km, dan perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai seperti yang diramal.

Peringkat 6 LTdL 2020 dari Taiping ke Pulau Pinang sejauh 150.9km disambung esok, membabitkan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Parit Buntar dan Balik Pulau, serta dua zon pendakian kategori KOM2 dan KOM1 di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.

Sempena ulang tahun jubli perak LTdL ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, pada 6 Februari lalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: