Uncategorized

Penyudah tumpul, Yusri terus berteka-teki import TRW

Christopher Jackson (tengah) menyerlah walaupun hanya beraksi selama 30 minit ketika Kelantan tewas 0-2 kepada Selangor di Kota Bharu, malam semalam. FOTO: KELANTAN FA

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah tampak masih berteka-teki mengenai kedudukan pemain importnya sebelum sepak mula aksi pertama Liga Premier, hujung bulan ini.

Dengan saingan liga berbaki kurang tiga minggu lagi, Yusri ternyata tidak dapat menyembunyikan keresahan susulan penyudah kurang berkesan dua penyerang import pasukannya itu.

“Status pemain import itu saya rasa pihak pengurusan boleh jawab, (kerana) saya memilih (pemain) untuk sign (tandatangan) kontrak.

“Bukan kata tak puas hati, nampak komitmen mereka cuma cara kita melakukan penyudah itu merisaukan saya,” katanya dalam sidang media selepas aksi persahabatan menentang Selangor yang berkesudahan pasukannya tewas 0-2 di Kota Bharu, malam semalam.

Ketika ini, skuad Team Red Warriors sedang menguji pertahanan, Varney Kallon Kiatamba dari Liberia dan dua penyerang iaitu Rhulani Manzini (Afrika Selatan) serta Felix Chidi Odili (Nigeria).

Sementara seorang lagi, Kang Seung-Jo (Korea Selatan) yang mewakili Pulau Pinang musim lalu difahamkan telah menandatangani kontrak bersama pasukan pantai timur itu.

“Bukan kata tak puas hati, nampak komitmen mereka cuma cara kita melakukan penyudah itu merisaukan saya.”

Sehubungan itu, dia mengharapkan sesuatu terutama daripada empat pemain import baharu dalam dua aksi persahabatan terbaharu pasukannya di Lembah Klang, bermula esok.

Yusri Che Lah

“Saya rasa harap kita dapat dua penyerang di Kuala Lumpur kerana saya takut mereka tak datang pada 14 Februari (esok). Saya cuma jangka mereka akan datang bersama (Christopher) Jackson.

“Untuk perlawanan (menentang PDRM) 14 Februari ini saya akan guna dua penyerang dan satu pertahanan dari Romania. Untuk satu perlawanan lagi 16 Februari (bertemu PJ City FC), ada satu lagi pertahanan dari Croatia,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyerang import baharu, Christopher Jackson mungkin boleh melegakan selepas mempamerkan sedikit kualiti ketika diturunkan selama 30 minit ketika bertemu Selangor.

“Saya agak terkejut sebab perjalanan dia terlalu jauh dari Liberia, memakan masa 26 jam. Saya tak berani mempertaruhkan dia sebenarnya tetapi saya nampak ada bunga-bunga (gaya permainan menarik).

“Walaupun kita lihat saiz badannya macam tak sepadan dengan bola, tinggi, panjang tapi terkejut juga dengan sentuhannya ala-ala kita tak dapat tapi dia dapat,” katanya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: