Uncategorized

CIMB penaja utama Liga Super dan Piala Sumbangsih 2020


CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau
“Kumpulan CIMB”) telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Malaysian
Football League (MFL) sebagai penaja utama bagi saingan liga elit tempatan, Liga
Super Malaysia, dan juga perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih.

Nama rasmi liga “CIMB Liga Super Malaysia” telah diumumkan pada majlis pelancaran hari ini yang turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi CIMB dan MFL. CIMB Bank Berhad (“CIMB Bank”) kini merupakan Bank Rasmi untuk Liga Malaysia, termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia, dan Challenge Cup.

Ini julung kali CIMB menjadi penaja Liga Malaysia dan menerusi penglibatan itu, CIMB komited untuk menyemarakkan lagi keghairahan lebih dari 20 juta peminat bola sepak Malaysia, terutama pelanggannya.

Nama CIMB sudah tidak asing lagi dengan arena sukan tempatan apabila selama ini telah menyokong atlet Malaysia berkelas dunia seperti bintang lumba basikal Malaysia, The Pocket Rocketman Azizulhasni Awang dan, sebelum ini adalah Datuk Nicol David iaitu bekas legenda skuasy nombor satu dunia untuk bersinar di pentas sukan global.

Dalam sukan bola sepak pula, CIMB juga bergerak aktif selama lebih dari satu dekad
membangunkan pemain bola sepak yang bercita-cita tinggi di peringkat akar umbi
menerusi cabang sosial korporatnya, Yayasan CIMB.

Sokongan daripada Yayasan itu terhadap akademi bola sepak remaja telah membantu menggilap bakat muda sehingga mencipta nama di peringkat profesional.

Ini termasuklah Mohd Hadin Azman (Kedah); R. Kogileswaran (B-22 Tahun Malaysia & PJ City FC); Muhammad Alif Safwan (Kuala Lumpur) dan R. Dinesh (B-22 Tahun
Malaysia & Pahang).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Dato ‘Sri Zafrul Aziz berkata,
CIMB amat gembira dapat bekerjasama dengan MFL untuk mencipta pengalaman baharu dan menarik buat penyokong bagi saingan CIMB Liga Super Malaysia.

“Dengan sukan bola sepak mempunyai lebih dari 20 juta peminat di negara ini, ia bukan sahaja menjadi sukan tempatan yang paling popular, tetapi menyediakan peluang strategik untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Sememangnya bola sepak adalah medium yang boleh menyatukan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan latar belakang sosial. Apa yang turut menjadi tarikan adalah peluang untuk memberi penghargaan kepada pelanggan CIMB di mana mereka berpeluang menerima pelbagai tawaran dan inisiatif bersama penyokong berkaitan dengan CIMB Liga Super Malaysia.

“CIMB juga berbangga dengan kejayaan beberapa pemain Liga Super hasil daripada pendedahan program pembangunan bola sepak remaja yang ditaja oleh Yayasan CIMB. Ini memberikan gambaran jelas mengenai tumpuan CIMB terhadap inisiatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga sejajar dengan wawasan Kumpulan CIMB untuk “memajukan pelanggan dan masyarakat”, jelas Tengku Zafrul.

Sementara itu, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selaku President MFL pula
berkata:

“MFL begitu gembira dan mengalu-alukan kehadiran CIMB Bank sebagai
rakan baru kami dalam Liga Malaysia. Dengan adanya CIMB Bank, salah satu bank yang paling pesat berkembang di ASEAN dan Malaysia, mengambil langkah berani untuk menjadi Penaja Utama dalam penampilan pertama dalam kancah liga tempatan, sejajar dengan cita-cita mereka dalam mencapai sasaran pelan tindakan Forward23 mereka”

“Kami di MFL juga memiliki perancangan utama kami sendiri iaitu Next50, dan CIMB
dan MFL jelas berkongsi matlamat sama dalam pelan induk masing-masing iaitu
perkembangan dan kemampanan. Inilah sebabnya kami merasakan bahawa ikatan
ini telus dan MFL serta CIMB gembira melihat perjanjian ini dapat direalisasikan pada hari ini.

“Kami juga amat bangga lebih melihat banyak sektor korporat menyertai keluarga Liga Malaysia. Ini adalah bukti bahawa jenama dan perniagaan percaya MFL telah meningkatkan nilai bola sepak Malaysia melalui usaha kami untuk mencapai visi dan misi Next50.”

“MFL juga sangat komited untuk bekerjasama rapat dengan penaja-penaja kami untuk memastikan peminat merasai pengalaman bola sepak lebih menarik,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah beberapa pemain tempatan iaitu Safee Sali, Brendan Gan, Khairul Amri dan Aiman Khalidi bersama dengan wakil dari akademi bola sepak tajaan CIMB serta penerima Yayasan CIMB kurang upaya, termasuk golongan pemain bola sepak kurang upaya penglihatan dan kudung.

Pelanggan CIMB dan pemegang kad kredit layak untuk menerima diskaun khas tiket
serta keistimewaan lain yang akan diumumkan kelak. Menerusi penajaan CIMB Liga Super Malaysia, pelbagai inisiatif dan aktiviti buat peminat bolasepak akan diadakan seperti klinik bola sepak dan sesi sesi beramah mesra bersama pemain bintang bola
sepak tanah air.

Perlawanan CIMB Piala Sumbangsih akan menjadi aksi pembuka tirai bagi musim
Liga Malaysia 2020 pada 28 Februari di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan menemukan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah.

Tiket bagi perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 akan mula dijual menjelang
tarikh sepak mula liga dan boleh dibeli di stadium atau menerusi dalam talian di tickethotline.com.my.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading