Serrano ungguli Genting, Celano rampas jersi kuning

Scroll down to content

PELUMBA Androni Giocattoli-Sidermec, Kevin Manuel Rivera Serrano menguasai pendakian berstatus hors ke puncak Genting Highlands untuk memenangi Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL), semalam.

Tidak berada dalam kondisi terbaik sejak tiga peringkat lalu, pelumba Costa Rica berusia 21 tahun itu menyimpan tenaga dengan bijak untuk mengerahnya ke tahap maksimum, sekali gus tiba secara solo di garisan penamat pada akhir kayuhan sejauh 156.1km dari Putrajaya.

Dia mengetepikan cabaran pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano pada 50 meter terakhir untuk menamatkan kayuhan dengan catatan 4 jam 18 minit 55 saat, 10 saat di depan Celano yang tetap berbangga kerana dapat merampas jersi kuning pendahulu yang disarung pelumba Vino Astana-Motors, Yevgeniy Fedorov sejak peringkat 1 di Kuching, Jumaat lalu.

Juara LTdL 2018, Artem Ovechkin yang menyarung jersi Terengganu Inc TSG Cycling Team, tiba di garisan penamat 43 saat kemudian, untuk melengkapkan kedudukan tempat ketiga di podium dalam kayuhan yang dianggap sukar dan mencabar itu.

Fedorov yang kini berada di tangga kedua, selepas kehilangan bekalan 1:33 saat sebelum bermula perlumbaan, masih boleh berbangga dengan jersi putih Pelumba Terbaik Asia yang disarungnya sekalipun menamatkan kayuhan di tempat kesembilan.

Jersi hijau Raja Pecut juga masih disarung pelumba NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walsheid sekalipun gagal menambah sebarang mata di 3 zon pecutan, 6 mata di depan pencabar terdekat yang juga pemenang Peringkat 2 di Kerteh, Taj Jones (ARA Pro Racing Sunshine Coast) yang menguasai ketiga-tiga zon pecutan semalam.

Peminat berbasikal tempatan turut bergembira apabila pelumba TSC, Muhammad Nur Aiman Zariff mengotakan janjinya dengan mengekalkan jersi merah Raja Bukit yang disarung selepas Peringkat 3 Temerloh-KLCC, semalam, apabila sekali lagi berada dalam kumpulan dengan dan menguasai kebanyakan zon pendakian untuk memgumpul 30 mata, sebelum tiba di kaki Genting Highlands.

Dalam senarai berpasukan keseluruhan, TSC turut mempunyai bekalan selesa apabila berada 4 minit 52 saat di depan TSG, dan 9:20s di depan Thailand Continental Team (TCC).

Namun pujian harus diberi kepada Serrano yang sekali lagi menyambung legasi pasukan Androni di Genting Highlands, dan mengutip kemenangan peribadi ketiga buat dirinya pada tahun 2020 ini, selepas menang dua peringkat di Vuelta a Tachira di Venezuela, bulan lalu.

“Saya bermula di LTdL kali ini dengan kondisi kurang baik tetapi saya bingkas dan menyimpan tenaga dengan baik untuk memenangi peringkat hari ini. Ini kemenangan yang manis kerana ia adalah pendakian yang begitu sukar.

“Selepas ini, laluan lebih sesuai untuk pakar pecut dan saya akan membantu rakan sepasukan bagi membalas usaha kerana mereka hari ini,” kata Serrano yang akur Androni kini hanya mempunyai 4 pelumba untuk mengharungi baki cabaran.

Sementara itu, Celano, 30, yang baru menyertai TSC beberapa minggu lalu dari pasukan Amore & Vita-Prodir menyifatkan kejayaan merampas jersi kuning adalah atas usaha baik rakan sepasukan yang turun untuk memastikan jersi merah Nur Aiman, dan mengulangi pencapaian bekas pelumbanya tahun lalu, Benjamin Dyball yang cemerlang di Genting.

“Pada awalnya, saya hanya mengekori Ovechkin dan Kevin (Serrano) dan saya tahu ini adalah pendakian yang sukar dan panjang. Jadi saya hanya menyimpan tenaga sebelum memastikan berada di kelompok depan pada baki 5km terakhir.

“Namun ketika bersaing dengan Kevin, saya gagal bertahan,” katanya yang mendapat bantuan pendaki TSC lain seperti Cristian Raileanu dan Pierpaolo Ficara di peringkat awal, sebelum bersaing dengan Serrano pada 2km.

Sementara itu, Nur Aiman yang dalam sidang media selepas perlumbaan, berkata dia gembira segala perancangannya berjalan lancar pada peringkat penting itu.

“Memang strategi adalah untuk mengutip sebanyak mata mungkin di 4 zon pendakian sebelum tiba di kaki Genting Highlands. Saya menyertai kumpulan pelumba yang meloloskan diri sejak awal dan dapat mengutip mata maksimum dalam tiga daripada 4 zon pendakian itu.

“Selepas itu barulah saya bertenang dan membantu rakan sepasukan. Selepas tiga hari bekerja keras berada dalam kumpulan breakaway, saya berada letih tetapi semuanya berbaloi,” kata pelumba 22 tahun yang mula menyertai TSC sejak 2018 itu.

Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 disambung esok dengan kayuhan sejauh 165.8km dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh, dengan tiga zon pecutan tetapi tiada zon pendakian.

Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, pada 6 Februari lalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: