
IBU bapa sebenarnya memainkan peranan cukup penting di sebalik kejayaan atlet sukan negara tidak kira apa jua pertandingan yang disertai.
Pemain boling negara, Natasha Roslan harus mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya atas sokongan berterusan mereka untuk melihatnya mencapai status terkini.
Baru-baru ini, keluarganya, bapa; Mohamed Roslan Ismail, ibunya; Anita dan adik perempuannya, Adilla tiba di Palembang untuk memberikan sokongan moralnya ketika bertanding di Piala Dunia Boling QubicaAMF ke-55 di Bowling Center, Jakabaring Sports City.
“Kami akan datang menyokong Natasha di mana dia bermain boling terutama jika ia dekat dengan Malaysia.
“Kami gembira kerana dia melakukan yang terbaik dalam penampilan sulungnya dalam kejohanan ini dan berharap dia terus meningkatkan prestasinya menjadi antara empat teratas untuk meneruskan cabaran memburu gelaran,” kata Roslan.

Dalam pada itu, Roslan menyingkap kisah sejarah pembabitan Natasha dalam sukan boling.
“Kami telah membawa Natasha untuk bermain boling sejak dia berusia sembilan tahun di Pusat Boling Sunway Pyramid dan memasuki pertandingan junior dan beberapa sirkit.
“Saya seperti tidak percaya bahawa kami telah melakukan ini selama 14 tahun lalu. Dari seorang anak muda yang bertatih menghayun bola kepada pemain kebangsaan sekarang,” ungkapnya.
Roslan berkata, beliau kini berharap seorang lagi anak perempuannya, Adilla, 14, yang kini sedang bermain boling untuk pasukan daerah di Selangor dan menjalani latihan dengan pasukan Sukma Selangor, juga akan membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan satu hari nanti.
“Adalah impian saya melihat Natasha dan Adilla bermain sebagai pasangan yang memakai baju kebangsaan. Sama ada ia berlaku atau tidak, saya tidak tahu kerana mereka telah terlibat dalam industri ini sejak sembilan tahun lalu. Tetapi itulah impian saya,” kata Roslan yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Natasha jelas gembira apabila ibu bapanya sendiri hadir di Palembang untuk memberi semangat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Saya harap saya dapat membanggakan mereka dengan baik dalam penampilan sulung saya di sini,” katanya.
Untuk rekod, Natasha yang dilahirkan di Selangor telah memenangi gelaran juara Dunia Masters 2016, juga memenangi Kejohanan Dunia 2017 berpasukan dan pencapaian terbaiknya tahun ini menamatkan pertandingan sebagai naib juara di belakang Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang bergelar juara di Kejohanan Kebangsaan pada Ogos lepas.
Add Comment