
IA menjadi misi hidup atau mati Adrian Ang pada hari terakhir pertandingan peringkat pertama untuk melengkapkan 24 permainan selepas masih bergelut untuk mencari konsistensi dalam Kejohanan Boling Dunia QubicaAMF ke-55 di Pusat Boling, Jakabaring Sports City, Palembang.
Adrian masih berdepan masalah meningkatkan tahap permainannya apabila hanya mencatat 195, 193, 194, 236, 166 jatuhan pin daripada keseluruhan 3,581 pin dalam 18 perlawanan dan turun daripada tempat ke-20 kepada kedudukan ke-23.
Francois Louw dari Afrika Selatan, yang mengetuai pertandingan bermula semalam, meneruskan kecemerlangannya untuk memimpin saingan dengan meraih 225, 243, 172, 249, 257 dan 258 untuk keseluruhan 4,210 jatuhan pin dan mencatat lebihan 300 pin mengatasi Oliver Moring dari Jerman yang menghuni di tempat keempat.
Di tempat ketiga adalah pemain Finland, Niko Oksanen yang turun dari posisi kedua dengan jumlah 3, 807 jatuhan pin, manakala peserta tuan rumah, Ryan Leonard Lalisang mendaki dari tempat ketujuh kepada nombor empat untuk mengikat Jasem Alsaqer dari Kuwait dengan jumlah keseluruhan 3,796.

Sedikit kejutan apabila juara bertahan, Sam Cooley dari Australia berada di tempat ke-7 dengan jumlah 3,741 pin.
“Saya rasa saya lebih baik, tetapi strikes yang kita lakukan tidak berjaya, ada masa saya gagal menjatuhkan kesemua pin,” kata Adrian yang kecewa.
Tambah Adrian, dia akui dalam kedudukan yang tidak menentu dan perlu memperbaiki lagi permainan supaya lebih konsisten.
“Saya berada dalam keadaan tekanan sekarang, tetapi saya perlu bangkit dan membuat pintasan. Ia tidak akan menjadi mudah, tetapi harapan saya ialah buat lebih baik hari ini berbanding hari kedua,” kata Adrian yang membuat penampilan ketiga dalam kejohanan itu selepas menduduki tempat ke-17 dalam penyertaan sulungnya pada tahun 2006 di Venezuela dan ke-23 di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2011.
Dalam pada itu, jurulatih Adrian, Ben Heng berkata, lorong boling menjadi masalah utama buat anak didiknya.
“Bola kadang-kadang tidak bertindak balas. Adrian berada dalam dilema kerana dia perlu meningkatkan kelajuan dan mengulangi lontarannya tetapi apabila dia melakukannya, dia mungkin kehilangan ketepatannya.
“Adrian tidak begitu kuat seperti pemain yang lebih besar, misalnya Francois, yang juga mempunyai ketepatan, kelajuan dan rev.
“Adrian perlu berada pada tahap terbaik dan selepas tiga hari permainan , saya mengharapkan dia bangkit untuk acara itu,” kata Ben dengan nada yakin.
Add Comment