Bola Sepak

4 perkara utama Luqman amalkan bila hadapi tekanan


Luqman percaya semua pemain yang diturun memiliki keazaman membantu kemenangan pasukan.

Oleh : Subkhi Sudarji

KEKALAHAN 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi semalam pastinya menghadirkan tekanan buat semua pemain dan juga barisan kejurulatihan.

Mahu atau tidak semua ini perlu dilalui dan dihadapi dengan tenang serta bijak agar tumpuan sepenuhnya dapat diberikan pada perlawanan akan datang.

Bagi penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dia mempunyai cara tersendiri menghilangkan tekanan dengan mengamalkan bacaan zikir mencari ketenangan selain mengingati pesanan kedua ibu bapanya.

“Saya hilangkan tekanan ini banyak benda saya buat, contoh saya hilangkan tekanan saya tengok Netflix…tutup semua media sosial.

“Pesan mak saya selalu zikir (bila tertekan), walaupun muka saya ini nampak macam orang tak tahu zikir, tapi mak saya suruh zikir, jadi saya amalkan. Solat jangan tinggal Insya-Allah, Allah akan mudahkan perjalanan kita.

“Kita kena ingat pesanan ibu bapa ini penting, apa yang dia suruh buat ada kebaikan dia. Itulah cara saya nak hilangkan tekanan,” katanya.

Diminta mengulas gandingan yang paling sesuai buat dirinya diantara Syafiq Ahmad dan Guilherme De Paula, pemain yang beraksi di Liga Belgium bersama KV Kortrijk itu menyifatkan bola adalah sukan berpasukan.

“Kita bermain satu pasukan, kalah bersama menang pun bersama, kita perlu yakin dengan pasukan sendiri dan sentiasa menyokong diantara satu sama lain.

“Main bola ini satu pasukan bukan satu-satu seperti badminton atau skuasy, 11 orang satu pasukan.

“Jadi apa yang dilakukan Tan Cheng Hoe, kita kena yakin dengan pemain itu dan itu maknanya kita bermain saatu pasukan,” tegasnya.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment