Antarabangsa Permotoran Terkini

Hakim Danish raih mata berharga di Litar Red Bull Ring, Spielberg


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish mempamerkan kebangkitan cukup baik untuk menamatkan saingan Grand Prix (GP) Austria di tempat ke-9, sekali gus mengutip 7 mata berharga di Litar Red Bull Ring, Spielberg.
Keputusan itu membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi terbabit melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-7 keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 101 mata.
Pada perlumbaan itu, Hakim Danish yang bermula dari petak ke-15 melakukan permulaan cukup positif apabila pantas memperbaiki kedudukan pada pusingan awal perlumbaan.
Berdasarkan data rasmi perlumbaan, pelumba berusia 19 tahun itu melepasi pusingan pertama di kedudukan ke-14 sebelum melonjak ke tangga ke-12 pada pusingan kedua, ke-11 pada pusingan ketiga dan menembusi kelompok sembilan terbaik pada pusingan keempat.

 

Bagaimanapun, rentak Hakim Danish sedikit terjejas di pertengahan perlumbaan apabila melakukan beberapa kesilapan ketika bekerja keras untuk mendapatkan posisi lebih baik. Tindakan tersebut menyebabkan kedudukannya kembali merosot dan berada di tangga ke-14 pada pusingan ke-15.

Hakim Danish enggan mengalah dan mengatur semula rentaknya sebelum berjaya bangkit semula pada penghujung perlumbaan apabila kembali memperbaiki kedudukan kepada P12 pada pusingan ke-17 dan P11 pada pusingan ke-19 sebelum melintasi garisan penamat di tempat kesembilan.

ZK Racing melihat keputusan ini sebagai satu lagi perkembangan positif buat Hakim Danish dalam usaha meneruskan saingan Kejuaraan Dunia Moto3 2026, khususnya selepas pelumba muda negara itu sekali lagi menunjukkan semangat juang untuk bangkit pada penghujung perlumbaan.

Perlumbaan di Austria dimenangi pendahulu kejuaraan daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles, dengan catatan 33 minit 24.323 saat (s), diikuti Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua dengan 33:26.657s, manakala rakan sepasukannya, Alvaro Carpe, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 33:31.717s.

Kejuaraan Dunia Moto3 selepas ini membuka tirai pusingan Asia dengan GP Jepun di Mobility Resort Motegi dari 2 hingga 4 Oktober, disusuli GP Indonesia, GP Australia dan kemuncaknya GP Malaysia.

ZK Racing kini akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pusingan Asia, dengan Hakim Danish dijangka terus memberikan saingan terbaik dalam baki musim 2026.

ZK Racing merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, pihak media dan seluruh penyokong yang terus memberikan sokongan kepada Hakim Danish sepanjang musim ini.

Masih belum terlambat untuk mendapatkan tiket MalaysianGP dan hadir memberikan sokongan kepada Hakim Danish di pentas perlumbaan tanah air.


Add Comment

Click here to post a comment