
INDIVIDU yang akan menduduki kerusi selaku Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Itulah jawapan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berhubung kekosongan jawatan tersebut selepas beliau bakal melepaskan jawatan yang disandangnya itu.
Enggan masuk ‘campur tangan’ urusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memilih calon terbaik bagi mengisi jawatan Presiden MFL, Ab Ghani menjelaskan, hanya Ahli Lembaga Pengarah MFL berhak untuk mencadangkan individu paling layak untuk dilantik bagi menggantikannya sebagai presiden badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.
“Presiden MFL ini akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah, tidak dipilih melalui kongres. Ahli Lembaga Pengarah MFL akan menentukan atau pun menamakan siapakah yang akan menjadi Presiden MFL.
“Saya tidak tahu (senarai calon), mengenai perkara itu biarlah Ahli Lembaga Pengarah MFL menentukan,” katanya pada Majlis Sambutan 100 Tahun FAM di Arena Futsal FAM, Selasa.
Dalam masa sama, Ab Ghani menjelaskan beliau akan melepaskan jawatan Presiden MFL dalam masa terdekat, berkemungkinan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, 30 September ini.







Add Comment