Bola Sepak Terkini

Syahir ada misi tersendiri


PEMAIN tengah Selangor FC, Syahir Bashah tidak menyangka tiga musim bersama kelab itu telah berjaya membentuk perkembangan dirinya dalam karier bola sepak profesional.

Saban musim nyata memberikan pengalaman yang berbeza untuk dirinya terutamanya dalam misi merebut posisi utama dalam pasukan, namun pemain berusia 25 tahun ini terus bekerja keras bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih.

Memasuki musim keempat Syahir bersama Selangor FC, sudah tentu dia ingin memastikan tempat dalam kesebelasan utama terus ada di samping bersaing secara sihat apatah lagi dengan kehadiran beberapa pemain baharu yang pastinya akan memberikan dimensi lebih berbeza kepada pasukan ini untuk musim 2026-27.

“Saya datang sini (Selangor FC) ketika baru berusia 21 tahun. Macam di tempat lain juga, banyak kita boleh belajar daripada orang lain.

“Saya jumpa ramai pemain senior dan rakan sebaya yang bukan sahaja membantu dalam karier kami tetapi juga dalam kehidupan. Dekat sini kami bukan sahaja rakan sepasukan, tetapi kami macam sebuah keluarga.

“Bagi saya bukan berkenaan perubahan, lebih kepercayaan yang saya terima daripada barisan jurulatih dan rakan sepasukan banyak membantu saya beraksi dengan konsisten, selain kita kena percaya diri sendiri.

“Kita kerja dalam satu pasukan sudah tentu semua main peranan untuk bantu satu sama lain dan Alhamdulillah rakan sepasukan, barisan pegawai, barisan jurulatih semua bantu saya untuk lebih berkembang,”jelasnya.

Musim lalu pemain kelahiran Perak ini telah mencatat lebih 2000 minit permainan secara keseluruhan dan berazam untuk terus memberi impak membantu kelab meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Dalam masa sama, Syahir percaya dalam era bola sepak moden kini memerlukan pemain lebih versatil dan turut melihat peranan sebagai pemain utiliti sebagai satu kelebihan.

“Saya rasa adalah keperluan untuk menjadi seorang pemain ‘utiliti’ dalam era bola sepak moden sekarang dan dah tentu saya selesa dengan posisi sekarang, tapi saya juga bersedia dengan apa sahaja posisi yang jurulatih lihat saya berpotensi.

“Sebagai seorang pemain, fokus saya adalah untuk menyumbang sehabis baik seperti yang dimahukan oleh barisan jurulatih kepada pasukan dan para penyokong. Selain daripada itu, saya percaya barisan jurulatih dan pihak pengurusan sudah buat penilaian bagi musim lalu untuk kami beraksi lebih baik musim depan”, tambahnya.

Selangor terdahulu telah menamatkan saingan Liga Super 2025-26 di tangga ketiga selepas mencatat 52 mata secara keseluruhan.


Add Comment

Click here to post a comment