
QABIL Irfan Azlan bertekad meneruskan momentum positif daripada pusingan lalu apabila turun menggalas cabaran di Pusingan 3 Moto4 European Cup 2026 di Litar Jerez, bermula 3 hingga 5 Julai ini.
Pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu hadir ke Jerez dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Estoril apabila bangkit menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keempat.
Menduduki tangga keenam keseluruhan dengan 26 mata, Qabil Irfan hanya empat mata di belakang kelompok lima terbaik dan pelumba ini berazam menjadikan Jerez sebagai medan terbaik untuk memburu kemenangan sulungnya musim ini.
Litar Jerez bukan asing buat Qabil memandangkan beliau pernah melakar pencapaian cemerlang di litar berprestij tersebut musim lalu dalam perlumbaan ESBK Talent Cup.
Qabil memulakan kempen ESBK Talent Cup 2025 dengan aksi luar biasa apabila mencipta kemenangan pada perlumbaan pembukaan di Jerez dan lebih manis beliau kemudian melengkapkan rekod cemerlang pada perlumbaan penutup musim di litar sama dengan menamatkan saingan di tempat ketiga.
Rekod tersebut dijangka menjadi suntikan motivasi tambahan buat Qabil dalam usahanya memburu podium sulung musim ini, meskipun menyedari saingan Moto4 European Cup jauh lebih mencabar dengan kehadiran barisan pelumba terbaik Eropah.
Sepanjang dua pusingan awal musim ini, Qabil telah membuktikan keupayaannya bersaing dalam kelompok hadapan dan beberapa kali berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih podium sebelum dinafikan oleh beberapa insiden perlumbaan.
Pasukan SIC-GRYD Racing kini memberi tumpuan kepada analisis data daripada pusingan terdahulu bagi membantu Qabil mendapat tetapan jentera optimum bermula sesi latihan pertama.








Add Comment