
KEJOHANAN ragbi berprestij, Johor 7s 2026, kembali untuk edisi ke-9 dengan menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari dalam dan luar negara di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, dari 3 hingga 5 Julai 2026.
Kejohanan tahun ini bakal menyaksikan penyertaan 24 pasukan, melibatkan 16 pasukan lelaki dan 8 pasukan wanita, termasuk wakil dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, sekali gus mengukuhkan status Johor 7s sebagai antara platform ragbi sevens paling kompetitif di rantau ini.
Bagi kategori lelaki, tumpuan terarah kepada juara bertahan, Singapore Development, yang hadir dengan misi mempertahankan kejuaraan mereka.
Cabaran sengit dijangka hadir daripada pasukan kebangsaan Bunga Raya 7s Development selain beberapa pasukan kuat dari Johor seperti Iskandar Raiders, Johor Barbarian, SSTMI Tsunami dan UTM Pirates.
Turut mencuri perhatian adalah penyertaan pasukan antarabangsa seperti DKI Jakarta dari Indonesia serta All For One dan Thaksin University dari Thailand.
Bagi kategori wanita pula, persaingan dijangka tidak kurang sengit dengan penyertaan pasukan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang bakal merebut gelaran juara.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata Johor 7s bukan sahaja medan persaingan kompetitif, malah platform penting dalam pembangunan sukan ragbi di negeri itu.
“Johor 7s bukan sekadar sebuah kejohanan ragbi tetapi platform penting untuk pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi dan elit.”
“Ia bukan sekadar sukan tetapi objektif utama kami adalah untuk merakyatkan sukan ragbi di negeri Johor,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penyertaan pasukan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand menunjukkan Johor 7 semakin berkembang sebagai kejohanan yang kompetitif dan dihormati di rantau ini.
“Kami berbangga kerana kejohanan ini terus mendapat sambutan daripada pasukan tempatan dan antarabangsa dan menjangkakan aksi yang sengit sepanjang tiga hari kejohanan,” katanya.
Bagi edisi 2026, hadiah kemenangan keseluruhan yang ditawarkan adalah berjumlah RM12,000, dengan juara kategori lelaki membawa pulang RM5,000 manakala naib juara menerima RM2,500.
Untuk kategori wanita, juara bakal menerima RM3,000 sementara naib juara memperoleh RM1,500.










Add Comment