
MAJLIS Sukan Negara (MSN) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh matlamat mengasah bakat-bakat di kalangan pelumba berbasikal para negara yang mampu menjadi pencabar dalam saingan di peringkat antarabangsa.
Inisiatif itu dijayakan susulan kejayaan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang muncul atlet berbasikal para pertama Malaysia mencipta sejarah memenangi pingat emas acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Inisiatif pertama ialah penganjuran Kem Bakat Sukan Para Berbasikal yang bermatlamat memperhebatkan penyertaan atlet para dalam program dikendalikan secara profesional oleh jurulatih-jurulatih kebangsaan.
Program dilangsungkan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan, pada 7 dan 8 Mei lalu telah menarik penyertaan 31 atlet para daripada seluruh negara.
Lapan atlet para terbaik yang telah dikenalpasti daripada kem berkenaan kemudiannya disenaraikan untuk Program Next Gen yang bakal berlangsung daripada Julai hingga Disember 2026 dan atlet-atlet terbaik kemudiannya akan ditawarkan untuk mengikuti program latihan sepenuh masa MSN.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, menerusi inisiatif itu, MSN percaya akan dapat memastikan pencungkilan bakat atlet-atlet berbasikal para secara konsisten yang kemudiannya didedahkan kepada persekitaran latihan profesional supaya mereka mampu meneruskan peningkatan dan jadi pencabar di saingan antarabangsa.
“Inisiatif kedua, yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan, ialah memperluaskan pencarian bakat dengan memperkenalkan program sukan berbasikal para di peringkat negeri – dengan tumpuan awal kepada negeri-negeri yang memiliki kemudahan velodrom seperti Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan.
“MSN akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri-negeri untuk membantu merealisasikan perlaksaan program berbasikal para di negeri-negeri dan sasaran kita ialah supaya ada penglibatan semua negeri pada tahun 2027,” ujarnya.
Tambah Jefri, MSN juga akan memperkasakan barisan kejurulatihan dengan kemasukan seorang jurulatih baharu untuk program pelapis selain sedang mengatur persiapan untuk menganjurkan kejohanan di tanah air yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi memberi peluang atlet-atlet berbasikal para negara mengumpul mata kelayakan ke temasya utama.
“Selain komitmen penyertaan di Temasya Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia tahun ini, skuad berbasikal para negara sudah mula bersiap untuk memburu kelayakan merit ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028, Amerika Syarikat menerusi penyertaan di Kejohanan Dunia Trek Para Berbasikal 2026 di Apeldoorn, Belanda, bermula 29 Oktober hingga 1 November 2026,” tegasnya.










Add Comment