
QABIL Irfan Azlan mempamerkan semangat juang tinggi pada perlumbaan Pusingan 2 Moto4 European Cup 2026 di Litar Estoril, Portugal apabila bangkit daripada kekecewaan pada Perlumbaan 1 untuk menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keempat.
Pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu terlebih dahulu mencuri tumpuan pada Perlumbaan 1 apabila memulakan saingan dari petak kesembilan dan berjaya memintas beberapa pelumba untuk berada dalam kelompok hadapan.
Qabil memperagakan tunggangan cukup baik apabila mendaki ke kedudukan kelima sebelum mengekalkan rentak kompetitif bersama kelompok pendahulu.
Ketika perlumbaan berbaki enam pusingan, Qabil mula memberi tekanan kepada pencabar lain apabila melonjak ke kedudukan keempat sebelum berjaya merampas tempat kedua.
Persaingan sengit dalam kelompok hadapan menyaksikan kedudukannya beberapa kali berubah antara tempat kedua dan ketiga, namun Qabil dilihat berada dalam posisi terbaik untuk memburu podium.
Impian tersebut tidak kesampaian apabila Qabil hilang cengkaman bahagian depan jenteranya di Selekoh 9 lalu terjatuh sebelum melanggar pelumba Itali, Lorenzo Pritelli ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan untuk tamat.
Bagaimanapun, Qabil tidak berputus asa untuk bangkit pada Perlumbaan 2 apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat terbaik biarpun bermula di petak ke-10.
Rentak konsisten yang dipamerkan membolehkannya naik ke kedudukan keempat ketika perlumbaan berbaki 12 pusingan dan kekal berada dalam kelompok tersebut sehingga garisan penamat.

Bagaimanapun, peluang untuk mencabar podium sedikit terjejas selepas kemalangan membabitkan dua pelumba di hadapannya menyebabkan jurang besar tercipta dengan kelompok pendahulu.
Qabil akhirnya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat untuk mengutip 13 mata berharga.
Keputusan di Estoril menyaksikan Qabil kini mengumpul 26 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan keenam carta pelumba Moto4 European Cup selepas dua pusingan perlumbaan.
Qabil kini hanya dipisahkan empat mata daripada kelompok lima terbaik yang dihuni pelumba Itali, Cristian Borrelli dengan 30 mata, manakala Alvaro Lucas dari Sepanyol kini mendahuli carta dengan 75 mata.
Selepas ini, Qabil akan memberi tumpuan menjelang perlumbaan Pusingan ketiga Moto4 European Cup yang dijadual berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol pada awal Julai depan.









Add Comment