
SYARIKAT automotif Malaysia yang menerajui jenama RCB yang terkenal di peringkat global, MKA Group secara rasmi diiktiraf Malaysia Book of Records atas pencapaian menghasilkan pemegang grip motosikal rekaan Malaysia pertama yang digunakan dalam Kejohanan Dunia MotoGP.
Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan penggunaan RCB Nagamaki Handle Grip dalam perlumbaan motosikal Grand Prix profesional, termasuk oleh pelumbapelumba yang bersaing dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3, sekali gus membuktikan prestasi serta kebolehpercayaannya di pentas tertinggi sukan permotoran antarabangsa.
Direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MKA Group, pembangunan RCB Nagamaki Handle Grip bermula pada Disember 2020 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomik, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan perlumbaan yang ekstrem.
Reka bentuk produk ini diinspirasikan daripada tsuka (pemegang pedang katana) dan teknik lilitan tsukamaki tradisional Jepun. Ia menampilkan corak struktur anyaman yang unik, direka untuk meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.
Reka bentuk yang boleh membantu mengurangkan getaran, meminimumkan keletihan dan kebas pada tangan, meningkatkan maklum balas sentuhan serta memberikan kestabilan cengkaman yang lebih baik ketika tunggangan berkelajuan tinggi.
Keupayaan produk ini turut dibuktikan melalui penggunaannya dalam perlumbaan MotoGP, sekali gus mengesahkan keberkesanan dan ketahanannya dalam persekitaran perlumbaan motosikal paling kompetitif di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA Group, Bruce Lee berkata, RCB amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan syarikat kami dan jenama RCB, malah turut menjadi kebanggaan kepada industri kejuruteraan dan pembuatan Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP dunia bersama produk terbaik di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, prestasi dan inovasi,” ujarnya.
Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini menyerlahkan keupayaan RCB dalam aspek kejuruteraan, inovasi serta sumbangannya kepada industri sukan permotoran global. Pada masa yang sama, ia turut memperkukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang teknologi automotif berprestasi tinggi dan pembuatan maju.
Seiring dengan usaha RCB memperluaskan kehadirannya dalam arena perlumbaan antarabangsa dan pasaran alat ganti prestasi selepas jualan (aftermarket), pencapaian ini menjadi bukti bahawa inovasi serta kejuruteraan Malaysia mempunyai potensi besar untuk berjaya dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.









Add Comment