Antarabangsa Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

FAM junjung kasih usaha dan inisiatif TMJ – Mohd Joehari

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas usaha dan inisiatif baginda dalam merevolusikan pasukan kebangsaan.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, sentuhan Tunku Mahkota Ismail mula menampakkan impak positif selepas kejayaan Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025.

“Sudah tentu kemenangan itu cukup istimewa kerana selepas 11 tahun menunggu akhirnya kita dapat mengalahkan Vietnam yang dianggap gergasi bola sepak di rantau Asia Tenggara ini.

“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.

“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini satu permulaan yang cukup positif buat pasukan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, 12 Jun 2025.

Mohd Joehari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan atas bantuan khususnya dari segi kewangan bagi memperkasa pasukan kebangsaan.

“Peruntukan daripada Kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Sekali lagi saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan penuh beliau buat pasukan Harimau Malaya,” jelasnya.

Pada masa sama, Datuk Mohd Joehari merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh penyokong Harimau Malaya termasuk Ultras Malaya yang kembali menggegarkan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Semangat inilah yang kita mahukan kerana dengan sokongan padu daripada mereka yang kita anggap sebagai ‘pemain ke-12’, pasukan Harimau Malaya mendapat suntikan semangat beraksi lebih baik,” tegasnya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading