
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menghamburkan ucapan terima kasih kepada seluruh penyokong Harimau Malaya yang dianggap memainkan peranan penting dalam membantu skuad negara meraih kemenangan menewaskan Vietnam, 4-0.
Cklamovski turut menegaskan bahawa kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 itu adalah hasil usaha keras semua pihak dalam pasukan.
“Saya bangga dengan persembahan pasukan. Kami tidak membenarkan Vietnam menyerang dan suasana di stadium juga menakjubkan.
“Pemain berusaha keras untuk bola sepak Malaysia, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Apa yang penting adalah mentaliti yang kami cuba terapkan kepada pemain.
“Pujian buat semua pemain, 11 orang di atas padang dan sokongan daripada pemain simpanan. Mentaliti kami adalah mahu menjaringkan gol.

“Ketika rehat, saya katakan (kepada pemain), jika kita dapat satu gol, kita akan dapat yang kedua dan ketiga. Terima kasih kepada semua penyokong kerana datang untuk perlawanan ini,” katanya.
Harimau Malaya kini mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot Kumpulan F tanpa sebarang mata.






Add Comment