
PEMAIN terbaik perlawanan, Joao Figueiredo ternyata berpuas hati setelah berjaya membantu Malaysia membenam cabaran Vietnam, 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Penyerang berusia 29 tahun itu tanpa berselindung teruja mendapat pengalaman manis pada penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya terutama sokongan padu yang diberikan penyokong sepanjang perlawanan.
“Saya gembira dapat beraksi buat pertama kali untuk Malaysia. Apa yang penting bukan menjadi pemain terbaik perlawanan, tetapi membantu pasukan memenangi perlawanan.
“Kami baru dua minggu bersama dan selepas ini mampu memberikan aksi lebih baik. Ini pengalaman terbaik bermain di Bukit Jalil dan akan saya kenang selamanya.
“Cklamovski juga jurulatih yang sangat bagus yang mana dia menjadikan kami pemain lebih baik,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Penyerang skuad kebangsaan itu ternyata berjaya merubah rentak permainan pasukan apabila meledak gol pembukaan sambil menegaskan bahawa skuad kendalian Peter Clamovski mampu menjadi pasukan yang lebih mantap selepas ini.
Pada perlawanan itu, Figueiredo meledak gol pembukaan pada minit ke-49 sebelum Rodrigo Holgado, La’vere Corbin-ong dan Dion Cools menambah tiga lagi gol selepas itu.
Kemenangan ke atas Vietnam meletakkan Harimau Malaya di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos.










Add Comment