
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan perlawanan pertama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Selasa, 25 Mac 2025 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, sepak mula jam 10:00 malam.
Ia susulan permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) untuk menukar perlawanan pada 25 Mac itu diadakan di Malaysia dan perlawanan pada 18 November 2025 pula berlangsung di Nepal berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Dasharath di Kathmandu masih sedang berjalan.
Justeru FAM telah membuat keputusan untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bagi menggunakan venue berkenaan sebagai tanda permulaan revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan sendiri oleh baginda.
Tiket berharga RM40 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak 6 hingga 12 tahun akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula hari ini – Khamis, 13 Mac 2025, jam 10:00 pagi.
FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan menentang Nepal itu nanti biarpun ia berlangsung ketika bulan Ramadan.







Add Comment