
MENJELANG aksi kedua timbal balik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United, Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu barisan pemain utama yang diturunkan beraksi bermati-matian bagi memburu kemenangan
Tegasnya, hanya kemenangan pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok menjadi buruan untuk membolehkan Harimau Selatan mencipta sejarah bola sepak Malaysia dengan mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, dia tetap berwaspada dengan pendekatan taktikal skuad kendalian Osmar Loss Vierira.
“Pemain perlu memberikan segalanya dengan beraksi secara matang dan menjiwai perlawanan ini tanpa berasa gentar.
“Mereka juga perlu elak melakukan kesilapan dan sentiasa fokus mengikut perancangan taktikal.
“Kami sudah bersedia dengan apa jua situasi sama ada bermain dalam tempoh 90 minit perlawanan atau tambahan masa 30 minit termasuk penentuan sepakan penalti. Apapun fokus kami tetap mahu menamatkan permainan sepanjang 90 minit tanpa tambahan masa,” katanya.
Ditanya sama ada aksi 20 minit pertama dalam perlawanan itu amat penting buat skuad Harimau Selatan bagi memburu kemenangan, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan tempoh masa berkenaan amat kritikal dan perlu bermain tanpa tekanan selain berusaha mencari ruang bagi mencipta jaringan,
Bidoglio juga mengesahkan pemain pertahanan JDT, Park Jun Heong masih belum pasti boleh diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi pertama di Stadium Chang, Arena, 4 Mac lalu.
“Park tidak 100 peratus berada dalam kondisi terbaik malah dia masih dalam proses pemulihan dan senario itu tidak menggusarkan kerana kami ada pemain yang bersedia untuk diturunkan,” kata Bidoglio. – BH ONLINE-





Add Comment