Bola Sepak

“Anak tirikan” skuad futsal wanita, FAM nafi dakwaan

Kita tidak boleh menghantar pasukan sekadar nak cukup syarat, atau sekadar nak ada saja.

PENGERUSI Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail menafikan dakwaan bahawa FAM mengabaikan sukan futsal wanita tanah air ekoran ketiadaan saingan liga kebangsaan pada tahun ini dan tiada pasukan dihantar menyertai Kelayakan Piala Asia Futsal Wanita 2025, Januari depan.

Tegasnya, punca utama  tidak menghantar pasukan ke Kelayakan Piala Asia Futsal Wanita 2025 pada Januari depan adalah kerana kita tidak bersedia untuk menghantar pasukan yang baik dari segi persiapan dan kekuatan.

“Kita tidak boleh menghantar pasukan sekadar nak cukup syarat, atau sekadar nak ada saja.“Punca utamanya disebabkan kita tidak dapat menganjurkan MPFL Kategori Wanita pada tahun 2024 ini, sekali gus tiada platform khusus untuk mencari dan menilai pemain terbaik bagi mewakili skuad futsal wanita kebangsaan ke pusingan kelayakan ini.

“Kenapa MPFL Kategori Wanita tidak dapat dianjurkan tahun ini? Ini kerana, selepas FAM membuka jemputan untuk pasukan-pasukan dari Persatuan Negeri dan juga kelab untuk bertanding, hanya 3 pasukan yang mengesahkan penyertaan. Sekali gus, MPFL 2024 bagi Kategori Wanita terpaksa dibatalkan penganjurannya.

“Situasi sama berlaku pada tahun lalu yang mana hanya 2 pasukan yang mengesahkan penyertaan, sekali gus MPFL 2023 bagi Kategori Wanita juga dibatalkan,” katanya.

Menjelaskan situasi yang berlaku itu, Datuk Seri Rosmadi menjelaskan, berkemungkinan perkara ini berlaku kerana seperti kita maklum, kebanyakan pemain wanita ini, dialah pemain bola sepak dan dia jugalah pemain futsal.

“Jadi di sini apabila berlaku pertindihan kejohanan membabitkan Liga Wanita Nasional (LWN), mereka telah memilih bola sepak berbanding futsal. Begitu juga bagi pasukan bola sepak wanita kebangsaan.”

Tambah beliau, FAM tidak pernah sesekali mengabaikan sukan futsal wanita di negara ini, malah FAM pernah menjadi tuan rumah untuk edisi sulung pusingan akhir Piala Asia Futsal Wanita (dahulu dikenali sebagai Kejuaraan Futsal Wanita AFC) pada 2015 di Nilai, Negeri Sembilan dan menganjurkan MPFL Kategori Wanita pada 2022.

“FAM berharap Persatuan-persatuan Negeri dan kelab-kelab dapat memberikan sokongan dan kerjasama untuk sama-sama menyediakan pasukan bagi menyertai MPFL Kategori Wanita pada masa akan datang, sekali gus menyediakan platform terbaik untuk FAM mendapatkan pemain berkualiti bagi mewakili skuad futsal wanita kebangsaan ke mana-mana kejohanan antarabangsa.

“Di pihak FAM, kami telah mengenal pasti segala permasalahan yang wujud dan sudah pun mula melakukan perancangan awal bagi memastikan saingan MPFL Kategori Wanita ini akan dapat dianjurkan semula pada musim 2025 nanti,” jelas Rosmadi.


Add Comment

Click here to post a comment