
PENGARAH Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) , Scott O’Donell tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan skuad B-16 dan B-19 sehingga mendapat kecaman peminat bola sepak tanah air.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, kegagalan kedua-dua skuad remaja bawah 19 dan Bawah 16 itu tidak bermakna Peta Hala Tuju F:30 gagal sepenuhnya.
“Kita tidak boleh menyalahkan Pengarah Teknikal kerana beliau telah menjalankan tugasnya untuk memberikan input kepada barisan kejurulatihan skuad B-16 dan B-19.
“Malah, beliau juga hadir pada Kelayakan Piala Asia itu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik buat kedua-dua pasukan remaja kebangsaan.
“Jadi beliau akan memberi pandangannya dalam laporan post-mortem pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Teknikal yang saya pengerusikan nanti.
“Saya berharap kita akan dapat membuat tindakan susulan seterusnya dan merancang lebih awal bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang mana akan bermula tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Sivasundaram berkata, FAM bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi melakukan kajian prestasi terhadap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang hampir 10 tahun.
“Hasil daripada kajian dan dapatan yang dilakukan pihak AFC, selepas itu barulah kita akan melihat tentang pendekatan dan kesesuaian NFDP dan AMD sama ada perlu distruktur semula atau mengambil apa-apa tindakan yang bersesuaian.
“Jadi pihak FAM dan KBS menunggu hasil daripada kajian tersebut,” jelasnya.





Add Comment