
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) melontarkan cabaran kepada skuad futsal lelaki kebangsaan kendalian Rakphol Sainetngam untuk meraih kejayaan pada Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand bermula Sabtu, 2 November hingga Ahad, 10 November ini.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM berkata, ini peluang terbaik buat skuad futsal lelaki kebangsaan membuktikan yang mereka mampu untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Kita perlu tampil dengan semangat juang yang tinggi serta keyakinan untuk menghadapi dua pasukan hebat dalam Kumpulan A iaitu Thailand dan Vietnam serta dua lagi pasukan, Timor-Leste dan Brunei.
“Sudah tentu sasaran awal kita adalah untuk muncul dua pasukan teratas Kumpulan A dan layak ke separuh akhir. Selepas itu, kita cuba beri cabaran yang lebih hebat untuk memastikan tempat ke Final pada 10 November nanti,” katanya.

Rosmadi yang juga pengurus pasukan berkenaan yakin bahawa barisan pemain yang dipilih oleh Rakphol kali ini adalah yang terbaik berdasarkan prestasi mereka di sepanjang saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan Malaysia Futsal Cup (MFC) pada musim 2024 ini.
“Skuad 14 pemain ke Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 ini terdiri daripada gabungan tiga pasukan teratas MPFL dan MFC 2024 iaitu Johor Darul Ta’zim, Selangor FC dan Pahang Rangers FC. Jadi inilah pemain terbaik yang kita ada.
“Berdasarkan persiapan terakhir latihan pusat selama seminggu di Bangkok, para pemain telah menunjukkan kombinasi yang semakin baik termasuk pada dua perlawanan persahabatan menentang Australia dan Chonburi FC,” jelas beliau.





Add Comment