Terkini

Kejuaraan edisi sulung Thunder Throw- Turo Show milik Blitz Steroids

Diadakan selama dua hari dari 12 hingga 13 Oktober 2024 dan bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2024

PASUKAN Blitz Steroids berjaya merangkul kejuaraan dodgeball edisi sulung Thunder Throw- Turo Show selepas menumpaskan Aces 5-4 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara.

Selepas mengharungi peringkat kumpulan sebelum melepasi halangan suku akhir dan separuh akhir, Blitz Steroids berdepan ujian sebenar ketika berentap dengan Aces pada final yang menyaksikan mereka perlu bertungkus-lumus untuk meraih kemenangan.

Ketua pasukan Blitz Steroids, Lee Kar Wai, mereka sangat gembira kerana bukan sahaja muncul juara dalam aksi edisi sulung ini, malah diberikan peluang mempamerkan kehebatan secara terbuka di pusat membeli-belah.

“Seronok dapat bermain di pusat membeli-belah yang terkenal ini, penyokong sentiasa memberikan kata-kata semangat. Bagaimanapun, ada masa membuatkan pemain menjadi gementar dan tertekan. Saya gembira mereka menguatkan mental dan mengejar ketika ketinggalan 0-2,” katanya.

Tambah pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, mengadakan kejohanan di pusat membeli-belah juga boleh memberikan banyak pendedahan dan mendekatkan diri sukan dodgeball kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga, Anak Malaya 1 berjaya menumpaskan Blitz Austistic 5-4.

Diadakan selama dua hari dari 12 hingga 13 Oktober 2024 dan bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2024, kejohanan ini turut menggabungkan antara sukan dan hiburan, selepas menampilkan persembahan nyanyian, pancaragam dan pasukan sorak.

Kejohanan yang membabitkan 10 pasukan menggunakan format peringkat kumpulan (Kumpulan A dan B) dengan empat terbaik akan mara ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan akhir.

Kumpulan A terdiri daripada Rainos DC, Blitz Austistic, Earthshakers DC, Blitz Steroids dan Anak Malaya 2, manakala Kumpulan B menampilkan Happy Happy YYDC, Blitz OKU, Aces, ITZ Blitz dan Anak Malaya 1.

Setiausaha Agung MAD, S Dasataran memuji penganjuran kejohanan itu yang mampu memperkenalkan lagi dodgeball dalam komuniti selain memupuk budaya hidup sihat dalam masyarakat.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana kejohanan ini saya lihat berada dalam kelas tersendiri. Penganjur berjaya membuatkan saya terkejut. Mungkin boleh bekerjasama selepas ini untuk program tahun 2025,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading