
PERSEKUTUAN Sukan Udara Malaysia (MSAF) memperkenalkan sistem aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik yang dilihat sebagai satu langkah berani dalam mendigitalkan sukan udara di Malaysia.
Presiden MSAF, Nurhaqimy Ismail memaklumkan, kerjasama kolektif itu menekankan komitmen pihaknya terhadap inovasi dan kecemerlangan sukan udara dan juga penerbangan rekreasi di mana SAMS mewakili lonjakan teknologi digital pada masa depan.
Tegasnya aplikasi inovatif itu menyepadukan pelbagai fungsi termasuk mengurusan lesen, sijil, kedudukan individu, sistem SOS, acara yang sedang dilakukan oleh individu, penjejakan langsung, buku log dan banyak lagi modul yang akan datang.
“Semuanya bagi memudahkan individu yamg terlibat dalam sukan udara mematuhi peraturan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Aplikasi mudah alih ini menyatukan semua keperluan komuniti sukan udara menjadi satu platform yang boleh diakses dan mesra pengguna, menjadikan penerbangan rekreasi dan sukan udara lebih mudah dan selamat untuk semua orang.
“Kami amat berbesar hati kerana YB Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, berbesar hati untuk merasmikan SAMS”,katanya ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Pembangunan aplikasi SAMS ini adalah hasil kerjasama kolektif bersama rakan strategik MSAF iaitu Identex Digital Sdn Bhd yang memainkan peranan penting dalam membangunkan perisian tersebut.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyumbang kepakaran mereka dalam penyelidikan dan pembangunan sukan dron serta AIM Aerial Technologies yang memberikan sokongan mereka dengan melakukan penjejakan dan pemantauan langsung,
Generali Insurance Malaysia Berhad pula memastikan keselamatan pemain sukan udara dan keselamatan semua aktiviti sukan udara dengan menyediakan perlindungan insurans, dan tidak dilupakan Futurise Sdn Bhd yang bekerjasama dengan MSAF untuk membangunkan manual latihan, pemetaan perlaksanaan dan rangka kerja untuk sukan dron.
Nurhaqimy berkata, pihaknya berbesar hati menyatakan bahawa SAMS telah menerima pelbagai pengiktirafan dan permintaan di peringkat antarabangsa, terutamanya daripada Persekutuan Sukan Udara Asia, yang telah menyatakan minat mereka yang mendalam untuk mengguna pakai SAMS untuk sistem sukan udara mereka.
“Sambutan yang menggalakkan ini menyerlahkan lagi potensi SAMS untuk mengubah dan memudahkan pengurusan sukan udara bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh benua.
“MSAF akan terus meningkatkan dedikasi untuk mempromosikan dan mengembangkan lagi komuniti sukan udara dan penerbangan rekreasi ini.
“Melalui kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MSAF juga akan menumpukan usaha untuk mendapatkan semua pihak bagi memastikan standard keselamatan tertinggi bagi komuniti sukan udara di samping memupuk pembangunan sektor dinamik ini,” jelasnya.





Add Comment