
PEMAIN tengah skuad kebangsaan Palestin, Oday Kharoub menyifatkan sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin antara sebab utama memilih beraksi di Malaysia walaupun menerima tawaran kelab dari negara lain.
Tegasnya, dia memilih pasukan ini (KUFC) kerana sokongan rakyat Malaysia kepada kami sangat baik.
“Saya gembira berada di Malaysia dan Kelantan kerana bila beraksi di luar negara saya turut membawa nama Palestin.
“Seperti diketahui, ramai rakan-rakan saya termasuk ketua jurulatih telah syahid akibat peperangan di Gaza”, ujarnya yang mendapat tawaran kontrak dari kelab Jordan, Mesir dan Qatar setelah berakhirnya saingan Piala Asia 2023, bulan lalu.
Oday Kharoub, 31 tahun telah menyertai Kelantan United FC untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/25 dibawa masuk dari kelab Liga Premier Palestin, Hilal Al-Quds dan adalah tonggak utama skuad kebangsaan negaranya dalam kejohanan Piala Asia baru-baru ini.
Dia telah membantu pasukan itu layak sehingga ke pusingan kedua. Setakat ini Oday telah mendapat lebih 25 caps bersama Palestin.
Penyertaan Oday Kharoub bersama Kelantan United FC adalah pengalaman pertamanya di luar negara kelahiran kerana sejak beraksi profesional pada 2012, dia hanya bermain di sekitar Liga Palestin sahaja.





Add Comment