Bola Sepak Terkini

Akhirnya Elavarasan Lepas Jawatan Skuad B-23

Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun negara, E Elavarasan telah melepaskan jawatan yang disandangnya untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

“Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Pan Gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkans sebentar tadi.

Tambahnya lagi, Hamidin Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu.

Elavarasan pada 1 September 2022 telah diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad senior negara.

FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: