Hoki Terkini

Skuad remaja lelaki timba pengalaman di Eropah

Pasukan telah menghabiskan lapan minggu fasa latihan fizikal dan tentunya Siri Persahabatan ini akan digunakan oleh kami untuk menilai sejauh mana tahap prestasi pemain ketika ini.

ENAM perlawanan persahabatan di Eropah telah dirancang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai persediaan buat Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023.

Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan berlepas ke Eropah malam ini dan akan kembali ke Malaysia pada 6 September dengan enam perlawanan persahabatan menentang Pasukan Remaja Kebangsaan Jerman, Perancis serta Great Britain telah diatur sepanjang keberadaan pasukan negara di benua Eropah.

Seramai 22 pemain dibawa bagi mengikuti Siri Jelajah Perlawanan Persahabatan ini dengan aksi persahabatan pertama akan bermula pada 24 Ogos.

Pengendali Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menjelaskan pemilihan pemain bagi mengikuti Siri Jelajah ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang sesi latihan yang telah dilalui selepas pulang daripada Kejohanan Piala Remaja Asia di Salalah, Oman.

“Tujuan utama Siri Jelajah Persahabatan ini diatur adalah bagi membantu pemain bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan penting hujung tahun ini dan dalam Siri Jelajah ini juga kami barisan kejurulatihan ingin melihat kombinasi para pemain beraksi dengan pasukan di Eropah.

“Bagaimana keputusan pantas yang boleh dilakukan oleh pemain di atas padang dan kami juga akan menerapkan beberapa taktikal baru, jadi ini medan terbaik untuk menguji taktikal tersebut selain melihat bagaimana pemain boleh mengadaptasinya.

“Pasukan telah menghabiskan lapan minggu fasa latihan fizikal dan tentunya Siri Persahabatan ini akan digunakan oleh kami untuk menilai sejauh mana tahap prestasi pemain ketika ini.

“Harapan saya agar pemain menggunakan peluang yang diberikan ini untuk beraksi menentang pasukan Eropah dengan sebaik mungkin. Saya juga berharap keyakinan para pemain akan semakin meningkat selepas beraksi dalam perlawanan yang diaturkan untuk mereka.

“Ini penting agar pemain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk beraksi dengan mana- mana pasukan sama ada Asia atau Eropah terutamanya menjelang dua kejohanan besar yang mendatang iaitu Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 dan FIH Hoki Piala Dunia Remaja 2023, Kuala Lumpur,” jelas beliau.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: