PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ mengenai sasaran rasmi walaupun ketua jurulatih, Kim Pan-gon optimis pasukan Harimau Malaya boleh melepasi peringkat kumpulan Piala Asia 2023, Januari depan.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memaklumkan sasaran akhir pihak persatuan hanya akan dimaklumkan sebelum berlepas ke Qatar dengan senarai pemain yang akan dibawa ke sana juga dapat disahkan.
“FAM belum tetapkan lagi sasaran untuk ke Piala Asia dan jika Pan-gon berkata demikan (lepas peringkat kumpulan), itu adalah sasaran peribadinya.
“Sudah pasti sebagai jurulatih, dia mahukan yang terbaik dengan meletakkan sasaran tertinggi tetapi bagi kami, kata putus hanya akan maklumkan sasaran sebelum berlepas ke Qatar nanti,” katanya pada Kongres FAM kali ke-59 di Petaling Jaya, Sabtu.
Sebelum ini pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon telah menyatakan kenyataan ‘berani’ selepas berakhir aksi persahabatan antarabangsa ketika menang ke atas Papua New Guinea 10-0 bulan lalu dengan menyatakan anak-anak buahnya berpotensi untuk mencipta kejutan di Qatar nanti.
Situasi itu agak berbeza apabila Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengambil langkah ‘selamat’ dengan menyatakan mengutip satu mata juga boleh dianggap positif.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengesahkan antara perbincangan yang dilakukan dalam kongres kali ini adalah pindaan beberapa statut yang dipersetuju oleh rakan kong kongsi persatuan.
Kata Mohd. Yusoff, antara pindaan statut yang dibuat adalah setiap ahli eksekutif (Exco) hanya boleh menyandang jawatan maksimu selama tiga penggal sahaja.
“Kita ada buat pindaan statut seperti Exco selepas ini hanya boleh menyandang jawatan mereka dalam persatuan selama tiga penggal sahaja selain hanya satu ahli setiap perwakilan yang boleh melakukan undian,” katanya.
Add Comment