
BEKAS penyerang kebangsaan , Safee Sali menyifatkan saingan liga di Asia Barat sesuai untuk menjadi ‘gelanggang baharu’ buat pemain muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi mengembangkan lagi bakatnya.
Pandangan ini disuarakan Safee berdasarkan tahap saingan di liga negara terbabit ‘kena’ dengan tahap permainan pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu buat masa ini.
“(Berhijrah) ke Liga Arab, Liga Emiriah Arab Bersatu (UAE) supaya dia dapat mengembangkan lagi potensinya. Kalau pergi ke tahap kompetitif yang sangat tinggi contohnya seperti di Eropah, cabarannya jauh berbeza.
“Tetapi dia pun masih muda, masih jauh lagi perjalanan dan dia berada dalam pasukan yang sesuai buat masa ini.
“Saya risau kalau ke peringkat tertinggi, persembahannya akan menurun. Jadi bagi lagi masa untuk dia berada di JDT kerana dengan usia 21 tahun, takut prestasinya takkan naik (jika berhijrah).
“Biarkan dia terus berkembang dengan JDT. Bola sepak ini kalau terlalu cepat naik, nanti cepat turun juga seperti beberapa pemain lain sebelum ini,” katanya yang pernah beraksi di luar negara.
Nama Arif Aiman terus menjadi bualan selepas pemain sayap itu meledak hatrik untuk membantu skuad Harimau Selatan membenam Selangor FC (SFC) 4-0 pada aksi separuh akhir Piala FA, Isnin lalu.
Kejayaan itu hadir hanya beberapa hari selepas dia turut beraksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan lima gol dalam dua aksi persahabatan berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Add Comment