
Tindakan Kelantan FC yang merehatkan ketua jurulatihnya dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dengan cara tidak betul dikesali ejen terkenal Asia, Myeongho Jeong.
Menurutnya, sejak kehadiran Moon-sik ke skuad Pahlawan Merah itu sejak Januari lalu, sebenarnya pemilihan pada setiap perlawanan telah ditentukan oleh pengurusan tertinggi kelab dan bukannya jurulatih.
“Pasukan ini (Kelantan FC) cantik di luar, tetapi di dalam ia adalah pasukan yang lebih teruk daripada pasukan amatur.
“Pasukan ini tidak mengikut perancangan jurulatih, sebaliknya pemilihan pemain tanpa merujuk kepada jurulatih.
“Semuanya seperti pasukan amatur, tetapi jurulatih melakukan yang terbaik. Pada perlawanan hari ini (menentang Terengganu FC pada Selasa), jurulatih tidak dapat memilih pemain dan bos (pemilik kelab, Norizam Tukiman) dan pengarah sudah memilih 11 pemain terbaik tanpa kata maaf,” katanya seperti dipetik di laman sosial miliknya.
Dakwanya juga, gaji pemain turut sangkut selama dua bulan selain pasukan terpaksa menempuh perjalanan panjang selama berjam-jam menaiki bas ke venue perlawanan berbanding memilih penerbangan bagi mengelak isu keletihan.
Jeong juga membayangkan akan mengheret TRW ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya terutama mengenai isu kelewatan pembayaran gaji.
“Kami sedang menyediakan (laporan) untuk Fifa mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Add Comment