PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) melahirkan rasa kecewa dengan sikap ketua jurulatih Perak Datuk Lim Teong Kim menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh.
Presidennya Norismadi Abd Manap berkata, bahasa tubuh serta cara beliau berdepan dengan media untuk dua soalan ringkas itu amat negatif pada pandangan SAM.
“Rakan media faham situasi dan emosi jurulatih selepas mengalami kekalahan besar, tetapi kami hanya menjalankan tugas kami.
“Teong Kim seorang jurulatih yang memiliki pengalaman luas di Eropah, namun bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan mudah yang dilontarkan penolong penerbit stesen televisyen swasta kepadanya sejurus perlawanan tamat,” katanya.
Tambahnya lagi, janganlah media dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan geram kerana kami tidak mencampuri sebarang urusan dalam pasukan anda dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi.
Norismadi berkata media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti diberikan bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.
Pada pertembungan di Ipoh semalam, JDT membelasah Perak 5-0 sekali gus menyaksikan anak buah Teong Kim mencatat kekalahan ketiga berturut-turut.
Perak kini berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul lima mata selepas hanya berjaya merakam satu kemenangan dan dua seri dalam keseluruhan tujuh perlawanan.
Add Comment