PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.00 daripada setiap tiket perlawanan skuad kebangsaan yang terjual.
Sumbangan ini akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut berganding bahu dalam usaha memerangi kepupusan harimau Malaya dengan menyokong antara lain usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha konservasi biodiversiti termasuk harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata, FAM melalui Jawatankuasa Eksekutif pada 21 Mac lalu telah bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada KBS.
Tambahnya lagi, beliau optimis kolaborasi bersama KBS ini menjadi saksi kepada satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi ini juga menitikberatkan hidupan liar khususnya harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini sedang berdepan isu kepupusan.
“Ini adalah satu misi buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap harimau Malaya di Malaysia”, katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan, Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia.
“Kita tidak mahu di satu hari nanti harimau tinggal mascot ataupun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.
“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya.
“Oleh itu saya menyeru semua anak muda yang minat kepada bolasepak juga menunjukkan semangat yang sama dalam pemeliharaan harimau Malaya.
“Usaha ini dilihat sebagai satu pendekatan inovatif dan terangkum melibatkan sukan popular bola sepak sebagai penyelamat harimau Malaya,” tegasnya.
Di Malaysia populasi harimau liar telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada tahun 1970an kepada kurang daripada 150 ekor pada masa kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.
Harimau ialah satu indikator yang penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita bagi kesejahteraan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup kita semua.
Sudah tiba masa usaha pemuliharaan ini mendapat sokongan semua pihak, maka KBS dan FAM telah mengambil langkah untuk membantu dalam konservasi harimau.
Add Comment