Bola Sepak Liga Malaysia 2023 Terkini

Bekas pemain Melaka United enggan terus terlena


Akmal (kanan) meledak gol menerusi rembatan membantu kemenangan pasukan mengatasi Kuching City FC.

BENTENG Kedah Darul Aman FC, Mohd Akmal Md Zahir enggan terus terbuai dengan pujian selepas menjaringkan gol menarik pada minggu lalu.

Anak jati Kedah ini semakin mencuri tumpuan selepas melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol ketika menentang Kuching City FC bagi mencatat kemenangan 3-0 kepada pasukan.

Akmal menganggap sudah menjadi tanggungjawab pemain untuk tidak mensia-siakan peluang di hadapan mata bagi meledak jaringan dan berharap mampu untuk terus memberi impak besar kepada Kedah pada musim ini.

Namun, bekas pemain Melaka United FC itu tidak mahu terlalu teruja dengan pencapaian terkini sebaliknya dia ingin bersedia untuk perlawanan-perlawanan yang lebih sukar sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

“Kalau ikutkan, memang la sampai sekarang masih teringat lagi dengan gol tempoh hari, tapi dah sampai masa kita jadikan benda tu sebagai sejarah sebab liga masih lagi panjang dan kena fokus ke hadapan.

“Memang ianya akan sentiasa menjadi pengalaman indah untuk saya dalam karier lagi-lagi saya bermain untuk negeri sendiri tetapi selepas ini sudah tentu akan ada banyak lagi cabaran-cabaran yang kita akan lalui.

“Saya tidak mahu selesa dan selepas ini saya rasa sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol tetapi insya-Allah kalau masih ada ruang dan peluang, apa salahnya untuk saya cuba lagi meledak gol”, jelasnya.

Skuad kendalian Nafuzi Zain ini akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur pada 1 April depan untuk aksi keenam Liga Super dan pasukan telah pun kembali berlatih pada Selasa.

Kedah Darul Aman kini di tangga ketiga Liga Super dengan 12 mata selepas mencatat empat kemenangan dan satu kekalahan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: