
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengharapkan Stadium Sultan Ibrahim bakal dipenuhi oleh penyokong bagi menerima kunjungan Turkmeninstan pada aksi persahabatan antarabangsa pada malam Khamis.
Menurutnya, sokongan penyokong Malaysia pastinya akan membarakan semangat pemain-pemainnya bagi mengekang asakan skuad Karakum Warriors yang pastinya mahu menebus kekalahan 1-3 kepada skuad negara pada aksij Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.
“Kita ada objektif yang jelas untuk menyediakan skuad terbaik bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia.
Untuk perlawanan esok, Turkmenistan mengajak kami untuk lakukan perlawanan persahabatan dan kami terima pelawaan mereka. Saya rasa mereka mahu membalas dendam kepada kekalahan sebelum ini,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan.
Jelas Pan Gon, kehangatan sokongan yang diberikan penyokong Harimau Malaya pada Jun tahun lalu di Bukit Jalil menjadi salah satu faktor dalam membangkitkan semangat juang pemain untuk beraksi pada tahap tertinggi.
“Kita harap dapat sokongan dari rakyat Johor, kita harap semua dapat datang penuhkan stadium dan beri sokongan kepada kita untuk dapatkan atmosfera yang baik, kami akan tunjukkan permainan yang baik,” ujar beliau lagi.
Add Comment