
PAULO Josue dan Endrick dos Santos antara muka baru disenaraikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, di Stadium Sultan Ibrahim, hujung bulan ini.
Dua tonggak naturalisasi terbaharu negara iaitu sudah dijangka sebaik pemain berkenaan menerima taraf kerakyatan negara ini bulan lalu sekali gus memberi peluang Pan-gon menguji kemampuan pada perlawanan persahabatan itu nanti.
Turut mencuri tumpuan adalah kelibat tonggak kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine yang pernah menjalani latihan bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada tahun lalu.
Laine yang juga pemain kelab SJK Seinajoki di liga utama Finland itu dilihat mampu menambah pilihan buat Pan-gon terutama di posisi penyerang dan tengah negara.
Selain itu, dalam senarai terbabit menyaksikan pemain JDT mendominasi panggilan kali ini membabitkan 11 pemain daripada 27 tonggak yang senaraikan.
Syamer Kutty Abba yang diketepikan dalam saingan Piala AFF hujung tahun lalu turut dipanggil semula selepas pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika membantu Malaysia layak ke Piala Asia di pusingan kelayakan pada Jun lalu.
Lee Tuck dan Sergio Aguero yang turut menerima taraf selaku pemain naturalisasi bagaimanapun tidak disenaraikan.
Pasukan kebangsaan akan memulakan kem latihan pada Sabtu ini dengan pusat latihan diadakan di Johor Bharu sebagai persediaan menentang Turkmenistan pada 23 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim sebelum menentang Hong Kong 28 Mac ini, yang turut beraksi di tempat yang sama.
Add Comment