
Kuala Lumpur, 12 Mac 2023 – Kira-kira 2,500 penunggang basikal daripada pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di ibu negra pagi ini bagi menyertai acara OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) yang kembali dilangsungkan selepas tiga tahun dihentikan akibat pandemik Covid-19.
Terkenal dengan jolokan The City Ride kerana penganjurannya diadakan di tengah-tengah mercu tanda pusat bandar paling ikonik di ibu negara, majlis pelepasan peserta OCBC Cycle KL 2023 telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada jam 6.45 pagi.
Beliau diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana OCBC Cycle KL 2023, Datuk Naim Mohamad dan Naib Presiden Eksekutif OCBC Ltd, Koh Ching Ching.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik dan kira-kira 350 kakitangan OCBC pula bersama-sama para peserta mengharungi perlumbaan sejauh 42 kilometer (km).
Dengan mengetengahkan amalan lestari, acara kayuhan itu yang menjurus kepada konsep kitar semula ternyata menbangkitkan semangat setiap peserta sebelum mereka memulakan kayuhan masing-masing.

Bagi peserta yang mahu mengharungi perlumbaan lebih berintensiti tinggi, mereka berkayuh sejauh 42km, manakala penunggang basikal riadah pula memilih kayuhan lebih santai sejauh 21 kilometer.
Tunggangan itu direka untuk melengkapkan jarak 7 kilometer yang sudah biasa dilakukan oleh ramai orang dalam acara mingguan OCBC KL Car Free Morning yang mendapat tajaan OCBC Bank.
Membuat penampilan sulung bagi edisi keenam kali ini ialah The KL Mayor’s Ride yang menampilkan 10 peserta dalam setiap pasukan dengan jarak 42km. Pasukan itu terdiri daripada penyertaan syarikat, kementerian dan agensi.
Setiap peserta mengayuh basikal sepanjang jalan tertutup di Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Putra,Jalan Tun Ismail, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Kuching menuju ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin dan Jalan Raja sebelum menuju ke Dataran Merdeka.
OCBC Cycle KL ditaja oleh OCBC Bank dan dianjurkan oleh Multigreen Events. Ia disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Syed Abdull Aziz, OCBC Cycle KL 2023 sekali lagi membuktikan penganjurannya sebagai acara yang sesuai dan pelengkap kepada OCBC KL Car Free Morning yang juga ditaja oleh OCBC Bank.
“Amat menggembirakan melihat 2,500 penunggang basikal pagi ini. Saya pasti semua orang teruja untuk berada di jalan tertutup untuk menunggang dengan selamat dan menikmati persahabatan yang sentiasa dikaitkan dengan OCBC Cycle KL.
“Kami gembira dapat menyediakan platform berbasikal selamat ini buat kali keenam kerana OCBC Cycle KL kekal sebagai satu-satunya acara berbasikal tahunan dengan penyertaan beramai-ramai di jalan tertutup di ibu negara.
“Kami juga teruja dengan langkah untuk menjadikan OCBC Cycle KL 2023 lebih mesra alam dan mampan. Ini bermakna penggunaan plastik berkurangan dan lebih menghormati pemuliharaan persekitaran kita.
“Ini adalah sebahagian daripada agenda OCBC Bank, bukan sahaja untuk OCBC Cycle KL 2023, malahan dengan semua yang kami lakukan,” katanya.

Sementara itu, Naim berkata, beliau amat gembira dengan jumlah penyertaan peserta tahun ini berikutan kali terakhir acara berbasikal beramai-ramai itu dilangsungkan pada November 2019.
“Amat menggembirakan melihat kehadiran peserta yang begitu ramai, termasuk peserta daripada lebih 20 negara berbeza. Saya percaya mereka mendapat pengalaman yang hebat.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk berbasikal secara selamat, kami berterima kasih kepada pihak DBKL dan PDRM kerana membantu memastikan perjalanan acara kayuhan yang lancar kepada semua peserta,” katanya.
Selain OCBC Bank, penaja lain OCBC Cycle KL 2023 termasuklah Great Eastern, KPJ, Decathlon, Thule, Garmin, 100Plus, Nescafe, Milo, Cosmo Hotel, N8 Sports Nutrition, Gin Huat, Maxxis, Dahon, ES Mass, Maxtron, Elite Sports , Projek Rudy, Pusat Pemulihan Sukan Dynamique, Mata Kucing, Minoura, Kucing Hitam, Catuan Hutan dan Kulsocs.
Acara kayuhan itu turut menghimpunkan pelbagai pemain industri yang berkaitan peralatan basikal serta pakaian sukan di rantau ini bagi memeriahkan Bike Mart.
Add Comment