Lain-Lain Terkini

Emas pertama Olimpik, KBS tubuh RTG


Hannah Yeoh (tengah) bersama ahli jawatankuasa RTG yang dibentuk merealisasikan misi emas pertama.

KEMENTERIAN Belia dań Sukan (KBS) menubuhkan pasukan Road to Gold (RTG) bagi memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Pembentukan RTG bertujuan untuk menyelaras usaha negara bagi merealisasikan misi berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh setahun bagi menghadapi Olimpik Paris tahun hadapan, jawatankuasa RTG akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Oleh itu, Jawatankuasa Gold Paris kini dikenali sebagai Jawatankuasa Road To Gold.

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri,” katanya ketika sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad.

Tambahnya lagi, Jawatankuasa RTG akan memperkasa Program Podium sedia yang diketuai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat kementerian bagi mengukuhkan lagi jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat.

“Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang berpotensi melalui konsultasi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak terhad kepada sokongan fizikal sahaja, malah bagi keseluruhan kesejahteraan diri mereka,” katanya.

Jawatankuasa RTG dipengerusikan bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sementara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ahli Jawatankuasa antaranya terdiri daripada Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Mohd Ramli.

Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, bekas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David yang turut dipilih sebagai timbalan ketua kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi turut berada dalam ahli jawatankuasa terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dilantik sebagai penyelaras projek dan akan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai selaku pembantu penyelaras projek.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: