Bola Sepak Liga Malaysia 2023 Terkini

Sang Badak ‘tempang’ berdepan Tok Gajah


Sabah FC turun beraksi di Kuantan tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan.

SABAH FC berdepan tugas getir menentang Sri Pahang FC setelah bakal kehilangan empat tonggak utama untuk aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Mereka terdiri Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok selepas mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Kuching City FC, isnin lalu.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun tetap tenang dan yakin beberapa pemain bersedia untuk mengisi tempat mereka sekali gus mampu memberikan persaingan hebat menjelang perlawanan nanti.

“Kita akan lihat perkembangan mereka ini, jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan Sabtu, masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu pasukan Sri Pahang.

“Secara keseluruhannya, pemain-pemain lain berada dalam keadaan amat baik, saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup tinggi, di mana setiap pemain yang diturunkan tak kira pada kesebelasan utama ataupun dimasukkan pada masa gantian mampu menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya.

Darren Lok (kanan) munken diletakkan selaku pemain simpanan ekoran kecederaan.

Mengulas mengenai gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok, Kim Swee berkata, kedua-dua pemain ini bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya mendapatkan gol serta bermain dengan begitu baik pada setiap perlawanan.

“Kedua-dua mereka sangat serasi, walaupun mereka ini baru digandingkan bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi prestasi mereka cukup baik. Begitu juga dengan pemain-pemain lain juga dilihat sangat komited dengan menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.

“Jadi saya harap agar semua pemain dapat mengekalkan rentak persembahan yang baik disamping mampu menunjukkan prestasi cemerlang mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.

Selepas berakhirnya dua perlawanan, Sabah FC masih memegang rekord tanpa kalah bersama JDT dan Sang Badak kini berada dalam prestasi terbaik untuk mencabar kejuaraan yang disandang Harimau Selatan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: