
Kedah Darul Aman (KDA) FC turun dengan misi memburu tiga mata apabila menerima kunjungan Terengganu FC pada aksi kedua Liga Super 2023 di laman sendiri pada malam Rabu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, kehadiran penyokong yang membanjiri Stadium Darul Aman bakal menjadi tonik untuk membarakan lagi semangat Sang Kenari untuk menjinakkan Sang Penyu.
Menurutnya, sokongan padu yang diberikan oleh penyokong setia KDA FC perlu dibalas dengan tiga mata bagi menghargai kepercayaan yang diberikan kepada pasukan.
“Saya yakin dengan kemampuan pemain saya terutamanya bermain di tempat sendiri dan kita tahu kita mendapat sokongan yang padu daripada penyokong sendiri.
“Pasukan juga tak mahu mengecewakan penyokong kerana meletakkan harapan tinggi tahun ini termasuk Tan Sri (Dr Mohd Daud Bakar) dan Ketua Pegawai Eksekutif (Khamal Idris Ali). Kita hanya perlu membalas dengan tiga mata,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Nafuzi mengakui teruja kerana percaya satu aksi sengit bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan pada malam tersebut.
“Terengganu FC adalah tempat di mana kerjaya saya bermula dalam saingan Liga Super. Ramai pemain tempatan di dalam pasukan itu yang telah lama bersama sebelum ini.
“Mereka semakin matang dan sudah ada yang sudah berjaya membarisi pasukan kebangsaan,” ujarnya.
Add Comment